Saturday, December 3, 2011

Fouziah Ghous sukar bawa watak isteri bermadu


Fouziah Ghous mahu jadi pelakon yang lakonannya mampu meninggalkan kesan kepada penonton.
PERNAH memegang watak dirasuk makhluk halus dalam filem Rasuk, kini pemilik nama Fouziah Gous ini sering dilihat kerap membawa watak isteri yang bermadu.

Sentiasa mahukan cabaran dalam setiap perkara yang dilakukannya, Fouziah akui, bukan mudah untuk membawakan watak isteri yang bermadu.

Pernah menjayakan watak Norjinah dalam drama bersiri Trilogi Cinta, kini anak kelahiran Kuala Lumpur ini benar-benar mahu penonton menilai kredibilitinya dalam setiap watak yang dibawakannya.

"Sebelum ini abang Rosyam (Rosyam Nor) banyak memberi tunjuk ajar kepada saya.

"Katanya, kalau lakonan kita betul-betul berkesan, ia akan meninggalkan impak yang mendalam kepada penonton dan begitulah sebaliknya jika saya gagal membawakan watak tersebut.

"Oleh sebab itu, dalam setiap watak yang diberikan kepada saya, walaupun watak wanita bermadu sekalipun saya akan cuba menjiwai watak tersebut dengan penuh perasaan," ujarnya yang juga pernah mencuri perhatian menerusi drama Tahajjud Cinta tidak berapa lama dulu.

Terbaru, Fouziah memegang watak Karmila dalam drama Karma, arahan Erma Fatima yang kini sedang ditayangkan setiap Isnin dan Selasa di TV9 pukul 8.30 malam.

Drama 13 episod itu menceritakan mengenai Karmila, seorang artis popular yang jatuh cinta dan berkahwin dengan lelaki berusia, Tan Sri Fahrul Sani lakonan Datuk Ahmad Tamimi Siregar.

Walaupun mencintai Tan Sri Fahrul dengan penuh keikhlasan, namun kehadirannya tidak diterima oleh isteri pertama Tan Sri lakonan Ziela Jalil.

Selain Fouziah, Ahmad Tamimi dan Ziela, Karma turut dibintangi pelakon popular lain seperti Aaron Aziz, Datuk Rahim Razali, Sharifah Aleya, Azlee Khairi dan Fadilah Mansor.

Kekok bermanja

Mahu tidak mahu, dalam memastikan pengarah dapat apa yang dikehendaki, Fouziah terpaksa mengenepikan rasa malu mahupun segan apabila digandingkan Ahmad Tarmimi.

Memandangkan aktor serba boleh itu membawakan watak suaminya dalam drama berkenaan, dia seboleh-bolehnya mahu membiasakan diri dengan situasi berkenaan.

"Walaupun sebelum ini saya pernah digandingkan bersama beliau, namun watak yang menggandingkan kami adalah ayah dan anak. Saya sendiri pun sudah menganggap Ahmad Tarmimi sebagai ayah saya sendiri.

"Jadi cuba bayangkan macam mana saya nak menjiwai watak yang perlu menjalin cinta bermanja-manja dengan dia.

"Daripada gelaran ayah, kini menjadi sayang. Memang kekok sangat," kata aktres jelita itu sambil tergelak kecil.

Mengakui masih berada dalam proses menyesuaikan diri bersama Ahmad Tamimi dalam hampir keseluruhan babak dalam drama tersebut, dia bertekad bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

Dia mengakui, disebabkan watak berkenaan ia benar-benar menguji kebolehannya sebagai seorang pelakon.

Tidak sanggup bermadu

Walaupun berpengalaman membawa watak bermadu, Fouziah mengakui, jika boleh dia tidak mahu 'terkena badi' lakonannya yang banyak membawakan watak bermadu.

Baginya, cukuplah sekadar lakonan dan tidak terjadi dalam kehidupan seharian.

"Sesungguhnya, saya sentiasa mengharapkan Tuhan memberi jodoh terbaik. Jika boleh saya sememangnya tidak mahu bermadu kerana jujurnya ia sangat menyeksakan," jelasnya.

Apabila ditanya soalan mengenai hubungannya dengan Iqram Dinzly ketika ini, jelasnya dia dan Iqram hanyalah kawan baik.

"Sebenarnya, kehidupan saya ini tidak mengizinkan saya untuk bercinta kerana kehidupan saya hanya tertumpu kepada beberapa perkara sahaja.

"Lepas habis shooting, saya akan balik ke rumah untuk berehat. Jika ada masa terluang, saya akan ke gimnasium, spa ataupun ke restoran dan tempat makan bagi menikmati hidangan yang saya gemari. Dek kerana itu, saya memang tiada masa untuk bercinta," katanya sebelum mengakhiri bicara.