Wednesday, December 21, 2011

Felda minat bida QSR, KFCH


KUALA LUMPUR 20 Dis. — Felda dikatakan antara pihak menimbang untuk membida bagi KFC Holdings Bhd. (KFCH) dan QSR Brands Bhd. sekiranya Johor Corporation (JCorp) menawarkan kepentingannya, demikian menurut sumber industri hari ini.

Bagaimanapun, Felda masih belum membentangkan tawaran itu dan merancang untuk berbincang dengan JCorp berhubung cadangan tersebut, kata sumber itu sebagai respons kepada langkah JCorp mengambil alih keseluruhan aset dan liabiliti kedua-dua entiti tersebut melalui usaha sama dengan dana ekuiti swasta, CVC Capital Partners Asia Pacific (CVC) baru-baru ini.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abd Samad berkata, pada awal tahun ini menyatakan minat untuk membeli kedua-dua syarikat berkenaan memandangkan Felda mempunyai pengalaman dan kekuatan untuk menguruskan entiti yang besar.

Bagaimanapun, kebanyakan penganalisis berpendapat walaupun Felda mungkin berminat, peluang ia berlaku adalah tipis kerana JCorp tidak mungkin akan bersedia untuk melepaskan bahagian yang membawa masuk wang.

“Felda boleh membuat tawaran secara langsung dengan menawarkan harga yang lebih tinggi daripada tawaran JCorp, tetapi JCorp, sebagai pemegang saham kawalan dalam KFCH dan QSR, masih pada pihak yang membuat keputusan,” kata seorang penganalisis.

JCorps memiliki 55.9 peratus Kulim, yang memegang 53.9 peratus kepentingan dalam QSR, yang sebaliknya menguasai 50.9 peratus KFCH.

Beliau berkata, jika JCorp mempunyai niat untuk menjual QSR dan KFCH, ia akan melakukannya pada tahun lepas apabila firma ekuiti persendirian yang berpangkalan di AS, Carlyle Group, menawarkan RM6.70 setiap saham QSR.

“Adalah mustahil bagi JCorp menjual syarikat yang memberikan tunai walaupun kumpulan ini mempunyai hutang dan keperluan untuk menyelesaikan RM3.6 bilion menjelang Julai tahun depan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

JCorp dan CVC telah membuat tawaran untuk menjadikan persendirian kedua-dua syarikat itu, menawarkan RM6.80 bagi setiap saham QSR dan RM3.79 setiap waran QSR serta RM4 bagi setiap saham KFCH dan RM1 bagi setiap waran KFCH.