Monday, December 19, 2011

Elfira Loy harus buktikan kemampuan diri (3 GAMBAR)

  ELFIRA...memberanikan diri melakonkan watak bercinta.

MUNGKIN sudah tiba masanya pelakon Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri menyahut cabaran melakonkan watak gadis bercinta. Ditambah usia yang kini di alam remaja, sudah pasti gadis yang mesra dengan panggilan Elfira ini perlu mencuba watak baru.

Sehubungan itu, produksi Cube Film Sdn Bhd yang diterajui pengarah berkaliber, Michael Ang nyata tidak gusar dengan kemampuan lakonan Elfira. Barangkali, sudah selalu bekerjasama membuatkan Michael arif apa yang sesuai buat si manis itu.

Justeru, buat pertama kalinya Elfira diberi kepercayaan melakonkan watak yang menuntut dia menjalin cinta menerusi telefilem menarik dan hebat, Biar Mimpi Sampai Ke Bintang untuk siaran Astro Ria (saluran 104) pada Khamis ini, jam 9.30 malam.

Mampukah Elfira menjiwai watak yang pertama kali dilakonkannya itu? Apatah lagi, dia turut digandingkan bersama pelakon sinetron popular Indonesia, Randy Pangalila sebagai hero yang berjaya menawan hatinya. Apakah mereka mampu memupuk keserasian?

Elfira, 17, yang ditemui pada majlis ramah mesra di Alexis, Garden Mid Valley, baru-baru ini berkata, dia gementar juga pada mulanya. Maklumlah, pertama kali melakonkan watak bercinta yang dia sendiri tidak pernah melaluinya lagi.

“Jujur saya katakan, ia memang agak sukar untuk diri ini kerana tiada pengalaman bercinta. Saya tidak tahu macam mana perasaannya (bercinta) hingga terfikir perlu menonton lakonan pelakon lain. Apapun, tak adil juga untuk buat begitu.

“Ini kerana, jika saya menonton lakonan mereka (pelakon lain) sudah pastilah akan terikut dengan cara yang dilakukan. Jadi, mana keaslian dalam diri saya? Oleh itu, saya fikir ada baiknya berlakon dengan cara sendiri kerana lebih selesa.

“Bahkan, saya juga berbincang dengan penulis skrip apa sepatutnya dilakukan. Mujur, dia (penulis skrip) pun mengesyorkan perkara sama iaitu saya jadi diri sendiri kerana watak diilhamkan itu berdasarkan karakter saya sendiri,” katanya.

Berkongsi pandangan mengenai Randy, luah si manis ini lagi, dia tak menyangka aktor dari negara seberang itu seorang yang baik dan mudah bekerjasama. Katanya, Randy juga tidak banyak songeh atau berlagak yang dirinya bagus.

GANDINGAN HEBAT...Michael (kiri) selaku pengarah
 bersama pelakon Biar Mimpi Sampai Ke Bintang
iaitu Didie Alias, Sharifah Shahora dan Elfira.
“Saya senang sepanjang bekerja dengannya walaupun kami perlu melakonkan babak pasangan kekasih. Tak dinafikan, geli juga saya dibuatnya tetapi inilah cabaran yang harus disahut. Michael sudah memberikan peluang yang besar kepada saya.

“Jadi, buat apa saya mensia-siakannya. Apatah lagi, Michael sudah membawa saya keluar daripada kepompong lama. Kini, saya harus buktikan kemampuan diri,” katanya yang baru memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama di Anugerah Skrin (ASK).

Mengulas mengenai kemenangannya, Elfira berkata, sehingga kini, dia masih berasa terkejut dan bagaikan tidak percaya dirinya yang dipilih sebagai pemenang. Menurutnya, ini kerana nama pesaing berentap dengannya adalah hebat dan berbakat.

Menurutnya, mereka semua (calon bertanding) pun sudah lama berkecimpung sebagai anak seni serta luas pengalaman. Jika dibandingkan dirinya yang masih terlalu baru itu, tentulah ada banyak yang perlu dipelajari serta diperbaiki lagi.

Apapun, Elfira berkata, dengan anugerah dimenanginya membantu bakat lakonan dimiliki terus menonjol. Akuinya, kini dia semakin dikenali sebagai pelakon dan tawaran kian bertambah. Cuma, dia tidak mahu tamak dan hanya menerima tawaran sesuai.

“Bagaimanapun, saya masih bukan seorang pelakon yang ‘demand’ (meletak harga). Bagi saya, bayaran yang ditetapkan sekarang ini untuk lakonan saya sudah berpatutan. Malah sebelum menang anugerah lagi, bayaran untuk lakonan saya tetap sama.

“Namun yang mengecewakan apabila ada pihak produksi yang mempertikaikan kerana ketika itu saya belum menang sebarang anugerah. Jadi, soal ‘demand’ pada saya bukan terletak sepenuhnya pada seseorang pelakon, tetapi ada segelintir produksi berpandangan begitu,” katanya.

Elfira yang sudah tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata, selain berlakon, dia juga mengatur perancangan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Malah, kini dalam proses memilih bidang diminati. 


Sinopsis Biar Mimpi Sampai Ke Bintang

TELEFILEM romantik berkisarkan percintaan remaja ini menceritakan Alya (lakonan Elfira), seorang gadis yang menghabiskan masa dengan membantu ibunya, Peah menjual ayam di pasar borong. Alya juga seorang gadis bijak yang memiliki impian.

Namun ibunya lebih selesa Alya sekadar membantunya di pasar daripada memilih melanjutkan pelajaran. Peah juga lebih mengutamakan pendidikan anak lelaki, Adib yang dianggap lebih penting untuk membantu keluarga mereka pada masa akan datang.

Biarpun hidup miskin, Alya berkawan dengan Kinah yang kaya raya tetapi kurang bijak. Sementara itu, Andy (Randy) pula adalah seorang remaja yang berasal dari Indonesia dan anak jutawan. Bagaimanapun, kehidupannya terlalu bosan dan tak seronok.

Kehadiran ibu tiri, Jenny dan dikelilingi rakan yang hanya berkawan dengannya kerana dia anak orang berada membuatkan Andy kecewa. Justeru, bagi menghilangkan kebosanan itu, dia sering melawat bekas pembantu rumahnya, Mak Yam yang sudah berhenti kerja.

MENARIK...babak-babak membabitkan Randy
dan Elfira dalam telefilem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang.
Latar belakang kehidupan Alya dan Andy yang berbeza membuatkan mereka cuba mencari kelainan dengan menyamar diri menjadi ‘orang lain’ di laman sosial facebook (FB) iaitu Alya adalah anak orang kaya dan Andy sebagai pemuda miskin.

Apapun, pertemuan mereka kali pertama sudah membuahkan bibit cinta pandang pertama. Bermula saat itu, pelbagai perkara suka duka berlaku dalam hidup mereka hingga masing-masing semakin rapat dan tidak mampu menafikan perasaan yang hadir.

Andy berterus terang bahawa dia adalah anak kepada jutawan Hardiyanto Rasputra. Begitu juga, penyamaran Alya terbongkar dan itu mengecewakan Andy. Pemuda itu jauh hati dan menganggap Alya sama seperti gadis lain yang pernah dikenalinya.

Adakah cinta Andy dan Alya kembali bertaut? Apakah yang berlaku seterusnya dan bagaimana Andy boleh terluka dengan Alya. Jadi, telefilem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang pastinya ada semua jawapan untuk persoalan yang berlaku.


PROFIL

NAMA PENUH: Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri
PANGGILAN KOMERSIAL: Elfira Loy
TARIKH LAHIR: 8 Mac 1994
USIA: 17 tahun
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
ADIK-BERADIK: Anak kedua daripada empat beradik
KARIER: Pelakon, model iklan
PENGALAMAN SENI: Sejak 2006
IKLAN: Motosikal Honda, Sunway Lagoon, Mee Sedap, Institut Jantung Negara, Bank RHB dan Mamee Slurrp
TEATER: Ali Baba, Ibu Zain 1 & 2
DRAMA/TELEFILEM: Chinta, Tentang Bulan The Series, Persis. Kak Long, Permata Hati, Qalesya, Persinggahan, Sanggar Cinta, Raudhah, Syurgamu Ramadhan, Waktu Rehat, Cinta Itu Buta, Air Mata Nursalina, Senja Permai, Kum Kum, Hani dan Biar Mimpi Sampai Ke Bintang
PROGRAM TV: Berani Jadi Bos (Astro Ceria), Cuti-Cuti Famili (TV1), Selamat Pagi Putera Puteri musim 1 dan 2 (TV1), Shana & Nina, Kids n Cash (TV3)
ANUGERAH: Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin (ASK)