Wednesday, December 21, 2011

Diskaun, rebat tol hingga 37 peratus pada Krismas


PLUS akan memberi diskaun tol 10 peratus untuk pengguna lebuh raya pada 25 Disember ini.

KUALA LUMPUR - Para pengguna lebuh raya akan menikmati diskaun dan rebat tol antara lima hingga 37.5 peratus sempena perayaan Krismas yang akan disambut pada Ahad ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Mohd. Saleh Santhiman berkata, pemberian diskaun dan rebat tol itu melibatkan 20 syarikat konsesi yang mengendalikan 24 buah lebuh raya.

Beliau dalam kenyataannya di sini semalam menjelaskan, antara lebuh raya tersebut ialah Lebuh Raya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB) yang menawarkan diskaun 10 peratus bagi semua kelas kenderaan mulai 11 malam pada 24 Disember hingga 8 pagi, 25 Disember.

Selain itu, pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SLDH), Lebuh Raya Kulim-Butterworth (KLBK), Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA) pula akan menikmati kadar rebat sepanjang masa sebanyak 10 peratus bagi pengguna kenderaan kelas 1 pada 25 dan 27 Disember.