Wednesday, December 28, 2011

Cinta Lelaki 20-an, Ramlah Ram Cari Dalang Penyebar Fitnah


PETALING JAYA: Penyanyi Ramlah Ram, 46, terkejut apabila dikaitkan mempunyai hubungan dengan pengurus perubadinya yang berusia 20-an seperti dilaporkan akhbar baru-baru ini.

Ramlah berkata, gosip yang dianggap 'busuk' itu telah menjejaskan reputasinya sebagai seorang penyanyi yang sentiasa menjaga rekod bersih sepanjang berada dalam industri hiburan tempatan.

"Gosip tersebut adalah tidak benar sama sekali. Saya malas nak ulas gosip ini panjang lebar kerana ia telah memalukan diri saya dan keluarga. Buat masa ini, saya telah berjumpa dengan penulis artikel tersebut dan menjelaskan situasi yang sebenar.

"Memang Hafiz sudah dua tahun bekerja untuk saya tetapi dia bukanlah seperti yang didakwa itu. Malah kami bekerja secara profesional. Dengan usia saya yang sudah meningkat begini, agak malu dibuatnya apabila gosip mengarut seperti ini disebarkan kepada khalayak," katanya yang ditemui pada sidang akhbar Mentor 6 di Sri Pentas, Bandar Utama, di sini, Rabu.

Tambah Ramlah yang baru sahaja muncul dengan single baru, Sesaat Kau Datang (kolaborasi dengan duo Sleeq), dia tahu siapa dalang yang menyebarkan fitnah tersebut.

Bagaimanapun, dia tidak berhasrat untuk mengambil tindakan terhadap individu tersebut.

"Perkara ini memang telah memalukan saya. Hati ini masih ada rasa geram," ujarnya yang menjadi mentor dalam pertandingan realiti Mentor musim keenam pada tahun hadapan.

Bercerita tentang tanggungjawab barunya sebagai mentor itu, Ramlah sudah bersedia untuk mencari bakat baru yang memiliki kriteria-kriteria yang diingini untuk diasah menjadi seorang penyanyi profesional yang hebat.

"Antara ciri-ciri utama protege yang saya inginkan, mereka mempunyai gaya dan personaliti yang tersendiri dan tidak menjadi klon kepada mana-mana penyanyi yang tersedia ada.

"Apa-apa pun, ia satu tugasan yang besar buat saya untuk mengasah bakat seseorang dengan jangka masa yang pendek dan ia bukan senang, lebih-lebih lagi melibatkan markah daripada undian khidmat pesanan ringkas (SMS)," jelasnya.

Selain Ramlah, antara selebriti yang menggalas tanggungjawab sebagai mentor untuk musim terbaru ini ialah Faizal Tahir, Ferhad, Ella, Ogy Ahmad Daud, dan Adam (AF).

Uji bakat akan berlangsung bermula di negeri Sabah dan Sarawak iaitu pada tarikh 13 Januari depan di Hotel Promenade, Tawau dan 15 Januari (Hotel Promenade, Kota Kinabalu), 20 Januari (Hotel Imperial, Miri) serta 22 Januari di Hotel merdeka Palace , Kuching.

Pada bulan Februari pula, uji bakat bersama setiap mentor akan diadakan di Sri Pentas TV3 iaitu Fauziah Ahmad Daud atau Ogy (4 Februari), Faizal Tahir (5 Februari), Ramlah Ram (11 Februari), Ferhad (12 Februari), Ella (18 Februari) dan Adam AF (19 Februari).

No comments:

Post a Comment