Tuesday, December 20, 2011

Chef Wan masuk kampung


KOTA TINGGI – Kehadiran duta Makanan Malaysia, Datuk Redzuawan Ismail atau Datuk Chef Wan ke dua buah kampung iaitu kampung Johor Lama dan Felda Air Tawar 4 di sini ternyata menggemparkan penduduk di kedua-dua kampung ber­­­­kenaan.

Penduduk, Khirrudin Mohamad, 40, berkata, pengalaman bertemu dengan selebriti tersebut ternyata bakal menjadi sejarah yang tidak akan dilupakan di dalam hidupnya.

“Walaupun sebelum ini saya pernah berjumpa dengan Datuk Chef Wan, namun pengalaman kali ini lebih terkesan apabila beliau sendiri datang ke kampung kami.

“Malah kami juga begitu teruja dan amat berbesar hati dengan kehadirannya ke sini,” katanya yang tinggal di Felda Air Tawar 4.

Terdahulu, kehadiran selebriti tersebut adalah untuk menjalani penggambaran sebuah program masakan yang bertajuk 'Wan Malaysia' yang kini sedang ditayangkan di sebuah televisyen swasta (Astro Prima).

Sementara itu, pengurus produksi, Muhammad Shah Saron, berkata, penggambaran yang berlangsung selama dua hari di negeri ini bukan sahaja dapat memperkenalkan masakan warisan kampung, sebaliknya turut dapat memperkenalkan tempat-tempat pelancongan di kawasan ini.

“Di samping itu, kita juga turut mempamerkan persembahan seperti tarian zapin, ghazal serta kuda kepang yang juga adalah salah satu seni yang paling popular bagi negeri Johor.

“Dengan itu, secara tidak langsung kita dapat menunjukkan kepada masyarakat luar tentang cara kehidupan masyarakat kampung di sini termasuk kawasan pelancongan yang menarik di kawasan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, antara lokasi lain yang turut dipilih untuk penggambaran program masakan tersebut ialah Daerah Kota Tinggi, Bujang Firefly, Bandar Penawar, The Puteri Pacific Hotel Johor Bahru serta beberapa kawasan lain.

“Malah kita juga mengucapkan penghargaan di atas kerjasama daripada beberapa pihak seperti anggota Rela, Umno cawangan Felda Air Tawar 4, Kelab sukan bermotor Kota Tinggi dan penduduk kampung yang bersama-sama menjayakan penggambaran ini,” katanya.