Wednesday, December 28, 2011

Chef Wan Cabar Adlin Aman Ramlie Beri Komen?


Kalau diikutkan, Murai Batu kurang gemar untuk menyentuh berkenaan 'perang status' atau 'perang laman sosial' yang sedang terjadi antara peserta Maharaja Lawak Mega (MLM), Adlin Aman Ramlie dengan juri tetap pertandingan berkenaan, Datuk Chef Wan.

Murai Batu sangkakan, sejak pertama kali membaca tulisan Adlin dalam laman sosial Facebook miliknya Ahad lalu yang memperkatakan tentang keegoan chef selebriti popular itu, diikuti pula dengan amaran yang dilayangkan Adlin ke Facebook Datuk Chef Wan, perkara ini akan diselesaikan secara baik.

Yalah, Murai Batu memang tak sanggup nak masuk campur, kerana ianya turut melibatkan penggunaan kurang sopan. Memang Murai Batu tak berkenan langsung.

Apatah lagi, apabila Murai Batu dapat tahu bahawa Datuk Chef Wan telah mengambil inisiatif pintar untuk membuang amaran berbentuk serangan peribadi daripada Adlin di dalam Facebook miliknya itu dengan harapan semuanya akan berlalu bak angin lalu.

Tapi entah mengapa, dalam Murai Batu tidak mahu menjadi 'kepochi' banyak pula media tempatan termasuk akhbar arus perdana yang membuat susulan tentang 'perang status' yang sedang terjadi antara mereka berdua.

Malah Murai Batu telah diajukan dengan pertanyaan bertalu-talu daripada beberapa orang teman serta pembaca setia portal murai.com.my yang ingin tahu mengapa Murai Batu langsung tidak mahu ambil kisah dengan isu yang sedangk hangat diperkatakan itu.

Jawapan Murai Batu ringkas. Biarkanlah mereka berperang sesama sendiri dan Murai Batu pasti akhirnya kedua-dua figura popular ini pasti akan mendapat solusi untuk menyelesaikan masalah kritikal mereka ini.

Mungkin juga, inilah masanya untuk mereka berdua menilai baik dan buruknya perbuatan masing-masing untuk dijadikan panduan pada masa akan datang.

Sempat juga Murai Batu baca hasil tulisan seorang wartawan senior dalam akhbar arus perdana baru-baru ini yang berjaya mendapat keterangan daripada Datuk Chef Wan berkenaan isu berkenaan.

Kukuh juga alasan yang diberikan Datuk Chef Wan apabila diserang dengan serangan seumpaman itu. Nasib baik pihak Astro sendiri langsung tidak ada masalah untuk membenarkan dia memberikan sebarang komen baik di dalam gelanggang MLM mahupun di luar pertandingan.

Khabarnya juga, sejak isu berkenaan menjadi bualan hangat, Adlin yang pada awalnya bising di Facebook menjadi diam seribu bahasa, lebih-lebih lagi apabila pihak media mula mahu mendapatkan keterangannya.

Dalam hal ini Murai Batu jadi kurang faham dengan tindakan Adlin Aman Ramlie. Bagaimanapun Murai Batu menerimanya dengan hati terbuka apabila dia enggan ditemuramah. Pastinya dia memiliki alasan tersendiri.

Walau apapun, bagi Murai Batu harap apa yang terjadi antara Adlin dan Datuk Chef Wan akan dijadikan pengajaran buat semua selebriti di luar sana.

Usah jadikan laman sosial seperti Twitter dan Facebook sebagai medan untuk membuat serangan hendap, mengamuk tak tentu arah, luahan perasaan atau menjatuhkan maruah sesiapa. Kerana kesudahannya nanti pembaca secara mudah akan menilaikan keperibadian kita.

Apapun Murai Batu ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Chef Wan kerana dipilih sebagai juri Miss World Tourism 2012. Lihatlah, walaupun dia hanya seorang tukang masak, tapi kepakarannya telah merayau ke bidang lain.

Murai Batu: Berdiam diri dan bertafakur untuk muhasabah diri. Bukankah itu lebih afdhal?

No comments:

Post a Comment