Tuesday, December 27, 2011

Chef Riz: Masa depan peserta Masterchef terjamin (GAMBAR)


CHEF RIZ meminta agar audiens tidak terlalu emosi apabila peserta disingkirkan kerana masa depan mereka tetap cerah.

PROGRAM realiti masakan terkenal Masterchef yang ditayangkan di Astro Ria (saluran 104) kini hanya tinggal 8 orang peserta bagi merebut gelaran juara Masterchef sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 serta menerbitkan buku masakan sendiri.


Sehingga hari ini, program Masterchef sudah memasuki episod yang yang ke-59. Cabaran yang diberikan semakin hari semakin sukar. Hanya mereka yang berbakat, kreatif dan tabah sahaja akan kekal sehingga ke peringkat akhir kelak.

Mengulas mengenai prestasi peserta sepanjang program ini berlangsung, Chef Mohd. Nadzri atau Chef Riz, 29, yang merupakan salah seorang juri tetap program ini berkata, prestasi peserta semakin bagus meskipun kadangkala dia kecewa dengan hasil masakan peserta.

“Dalam program ini prestasi peserta saya lihat semakin bagus tetapi ada naik turunnya. Mereka yang sudah sampai tahap top 10 ada masanya mengecewakan saya walaupun masakan mereka okey tetapi ada yang belum cukup baik.

“Tetapi dalam ramai-ramai peserta ada tiga dan empat orang yang saya lihat layak berada sehingga ke peringkat final kerana konsisten serta kualiti masakan yang diberikan,” ujarnya yang merahsiakan nama-nama peserta yang dianggap terbaik itu.

Chef Riz yang merupakan suami kepada aktres Ana Dahlia itu turut menambah program Masterchef bukanlah sebuah program realiti berlandaskan emosi dan membidas penonton yang mempertikaikan keputusan juri ketika proses penyingkiran berlaku.

“Penonton harus ingat bahawa ini sebuah program realiti masakan, kita nilai daripada segi rasa, persembahan dan skil masakan seseorang peserta.

“Sebaliknya pula yang berlaku terhadap penonton yang cepat berasa kasihan serta emosi contohnya ketika penyingkiran Mohamad Saiful Alip, seorang penoreh getah.

“Akhirnya, juara Masterchef mewakili tukang masak amatur di Malaysia. Mungkin pada masa depan mereka akan diundang untuk menyertai program Masterchef negara lain, jadi kita harus bersiap sedia memilih yang terbaik daripada yang terbaik,” balasnya.

Kesemua peserta Masterchef dikuarantin selama 12 minggu sepanjang penggambaran program berlangsung dan sepanjang itu juga penonton dapat menyaksikan tekanan yang diberikan buat peserta.

Kata Chef Riz, tekanan itu sengaja diberikan kepada peserta untuk membiasakan diri mereka dengan situasi dan tekanan sebenar bekerja di dapur sebagai tukang masak profesional.

“Memang juri Masterchef sengaja beri tekanan kerana itulah hakikat sebenarnya dalam bidang masakan. Masa diberi terhad, kehendak kami sebagai juri sangat tinggi, jika mereka boleh bertahan maknanya mereka boleh bekerja sebagai tukang masak profesional,” tuturnya.

Bercakap mengenai masa depan peserta program ini, Chef Riz memberitahu ada antara peserta yang tersingkir pada peringkat awal sudah mula bekerja dalam bidang masakan.

“Sebenarnya masa depan peserta bergantung kepada impian masing-masing. Ada yang masuk program ini sekadar ingin mencari pengalaman dan ada yang benar-benar ingin menukar bidang pekerjaan ke bidang masakan.

“Seperti salah seorang peserta, Aishah seorang pemandu lori, dia tidak dapat masuk top 24 tetapi kerana semangat, minat dan impiannya untuk bekerja dalam industri makanan, saya ambil dia bekerja. Sekarang dia bekerja di restoren milik saya, On The Table Cafeteria di Putrajaya,” katanya.

Timbul minat

Seorang lagi juri tetap program Masterchef, Chef Zubir atau nama sebenarnya Zubir Md. Zain, 45, memberitahu kebanyakan peserta program ini mempunyai minat untuk mendalami bidang masakan secara serius.

“Walaupun pada peringkat permulaan mereka sekadar mencuba nasib dan ingin pengalaman tetapi apabila mereka masuk program ini, perasaan cinta terhadap bidang masakan bercambah.

CHEF ZUBIR memuji sikap peserta Masterchef
yang semakin serius terhadap seni kulinari




“Ramai yang tanya saya, apa yang mereka perlu lakukan selepas tersingkir atau program ini tamat. Bagi saya setiap peserta yang keluar daripada Masterchef mempunyai peluang cerah tetapi belum boleh terus jadi chef profesional kerana mereka harus belajar dan bermula daripada bawah sebelum jadi yang terbaik,” jawabnya.

Kagum dengan semangat yang ada dalam diri setiap peserta Masterchef, kata Chef Zubir andai kata program ini akan diteruskan untuk musim yang kedua pesertanya kelak harus lebih banyak menimba ilmu masakan sebagai persediaan.

“Sekurang-kurangnya peserta harus tahu masakan tempatan, Barat dan Asia. Lebih baik jika mereka tahu bagaimana untuk memasak pencuci mulut atau masakan sejuk kerana dalam Masterchef bukannya semua tugasan memasak masakan panas sahaja,” ucapnya.

Selain bertindak sebagai pengacara dan juri, Chef Zubir, Chef Riz dan seorang lagi juri tetap iaitu Chef Johari Edrus turut terlibat memberi idea dalam pemberian cabaran kepada peserta.

Program Masterchef versi Malaysia yang merupakan sebuah program francais di lebih 10 buah negara seperti Amerika Syarikat, Greece, Indonesia, India, Croatia, Australia, New Zealand, Filipina dan Sweden bersiaran setiap hari Rabu sehingga Sabtu pada pukul 9 malam hanya di Astro Ria.c

No comments:

Post a Comment