Thursday, December 1, 2011

Asmidar memukau dalam realiti 'Vokal Bukan Sekadar Rupa' terbitan TV3


RANCANGAN realiti terbitan TV3, Vokal Bukan Sekadar Rupa (Vokal) sudah menghampiri penghujungnya apabila persaingan hanya berbaki empat minggu sahaja lagi.

Rancangan yang lebih mementingkan kelebihan vokal para peserta berbanding rupa fizikal mereka itu nyata telah menimbulkan suatu kelainan kepada industri hiburan tempatan apabila lebih mengutamakan bakat yang dimiliki berbanding rupa.

Vokal yang kini sudah memasuki minggu ketujuh hanya melibatkan empat peserta iaitu Mafa, Asmidar, Irsa dan Azmarul.

Kelainan yang ditampilkan dalam minggu ini adalah apabila keempat-empat peserta berpeluang beraksi bersama kumpulan muzik terkenal bagi menghidupkan peluang mereka untuk terus memikat hati juri dan juga peminat.

Kumpulan muzik yang diundang untuk membuat persembahan bersama peserta bukan calang-calang apabila membariskan Hujan, Meet Uncle Hussain, Sofarz dan Tilu.

Setiap peserta diberikan peluang menyanyikan dua buah lagu kumpulan yang beraksi bersama mereka di mana sebuah lagu dinyanyikan secara duet manakala sebuah lagi secara solo.

Konsert dimulakan dengan persembahan Mafa berganding dengan Tilu bagi menyanyikan lagu Diam-Diam dan juga Ku Bukan Aku.

Penyanyi kedua yang membuat persembahan, Irsa pula berganding dengan Meet Uncle Hussain untuk menyanyikan lagu Pokok dan Lagu Untukmu.

Persembahan bertenaga pada malam tersebut diteruskan dengan penampilan Azmarul bersama Sofarz menerusi lagu Terasa Di Syurga dan Maaf Dari Hati.

Mengakhiri senarai empat peserta yang tinggal, Asmidar digandingkan dengan Hujan untuk menyampaikan lagu Mencari Konklusi dan Aku Scandal.

Nyata persembahan para peserta pada malam itu mampu meraih komen positif daripada Azmeer dan Erra Fazira selaku juri tetap Vokal.

Secara keseluruhan, antara empat peserta yang membuat persembahan, persembahan Asmidar bersama Hujan mendapat standing ovation daripada kedua-dua juri.

Azmeer memuji persembahan Asmidar kerana itulah yang dinanti-nantikan oleh pihak juri sejak minggu pertama, Vokal dimulakan.

"Ini yang saya mahu dengar dalam pertandingan selepas beberapa minggu, kawalan suara yang cukup baik dan ternyata, gandingan Asmidar bersama Hujan menjadi," jelasnya.

Erra yang juga sependapat dengan Azmeer berkata, walaupun berganding dengan kumpulan yang hebat, namun persembahan Asminda tidak tenggelam.

Erra juga berkata, walaupun berganding dengan kumpulan yang hebat, namun persembahan Asmidar tidak tenggelam dan menonjol.

Dengan komen dua juri tersebut, ia memberi gambaran bahawa persembahan anak jati Kuala Lumpur itu merupakan persembahan terbaik untuk konsert Vokal minggu ketujuh.

Format pemarkahan rancangan itu dibahagikan kepada dua bahagian dimana juri mewakili 50 peratus manakala selebihnya melalui undian khidmat pesanan ringkas (SMS).

Juara Vokal akan memenangi RM50,000 dan naib juara akan memenangi RM30,000.