Saturday, December 17, 2011

Along & Angah serasi bersama, rezeki mencurah (2 GAMBAR)


Keduanya tidak pernah menjangkakan, gandingan menerusi Alamak Toyol mencetuskan suatu fenomena sehingga ada yang mengatakan mereka bakal menyaingi populariti Johan dan Zizan.

Mengakui selesa bersama, baik Along mahupun Angah Raja Lawak, tidak terlalu cepat ‘riak’ apabila peminat sudah mula ‘merestui’ gandingan mereka.

Menurut Angah, atau nama sebenarnya Iskandar Shah Hashim, dia tidak menyangka keserasian mereka berdua mencetuskan idea baru buat penerbit dan pengarah untuk terus menggandingkan mereka berdua selepas ini.

“Jika diikutkan, saya dan Along pernah berlakon bersama menerusi Adnan Sempit, tapi ketika itu kami tidak berganding bersama.

“Cuma menerusi Alamak Toyol, orang mula nampak Along dan Angah bersama dan ramai yang menyukai kami menjadi gandingan seperti Jozan,” katanya.

Tambahnya lagi, selepas ini sudah ada beberapa filem yang bakal menjadikan mereka sebagai teraju utama sekali lagi.

“Apa yang saya faham, filem itu akan dihasilkan ala-ala filem ‘Home Alone’ tetapi semuanya masih dalam perbincangan. Namun apa yang pasti, ia akan menggandingkan kami berdua,” katanya.

Bagi Along pula, segala perlakuan gurauannya bersama Angah dalam mana-mana filem adalah perbuatan lepas laku dan mereka tidak menyimpan dalam hati jika ada perbuatan atau ayat mereka yang terkasar.

“Bila kami bergurau, kami memang tidak simpan dalam hati kerana nama pun bergurau. Kalau dia lempang saya, saya lempang dia balik (ketawa).

“Jadi kalau kami bertepuk tampar dalam filem pun kami buat betul-betul. Mungkin kerana itu penonton suka melihat kami,” kata Along yang baru sahaja bergelar bapa.

Menerusi Suatu Malam Kubur Berasap (SMKB), Angah berkata, filem itu menggandingkan dia bersama empat lagi bekas peserta Raja Lawak berlainan musim termasuk Along.

Peluang yang diberi pengarah, Ernie Chen, bagi Angah adalah peluang yang tidak patut dilepaskan.

“Ramai peminat yang bertanya adakah saya akan berganding dengan Along lagi? Pada pendapat saya, filem ini bukan menonjolkan kami berdua sahaja, tetapi tiga lagi bekas peserta Raja Lawak.

“Secara tidak langsung ia membawa kelainan kerana bukan senang melihat ramai peserta Raja Lawak digabungkan dalam sebuah filem,” katanya.

Cipta program Slim-Bam

Bagi memuaskan hati para peminat, Angah dan Along telah mengusulkan satu kertas kerja kepada Astro untuk menerbitkan rancangan Slim-Bam yang menggabungkan mereka berdua.

“Selepas Alamak Toyol memang ramai yang mencadangkan kami mengacarakan satu rancangan bersama.

“Sebab itu kami sepakat buat kertas kerja yang menggabungkan ‘game show’ dan ‘talk show’ dalam suatu rancangan dan turut mengajak rakan artis turut serta dalam rancangan itu.

“Buat masa ini Astro belum memberikan apa-apa jawapan. Namun, kami harap ia akan diterima untuk kami memvariasikan cabang seni kami,” katanya.


Rela makan cacing

Mengulas mengenai wataknya dalam filem SMKB, Angah berkata, dia membawa watak sebagai Atan, seorang penggali kubur yang lurus bendul dan berperwatakan seperti ‘Femau’.

“Sebagai kelainan, untuk filem ini saya tidak melawak. Tetapi orang akan menggelakkan Atan kerana dia sangat lurus dan kadangkala bodoh-bodoh alang,” katanya.

Namun, demi mencuba sesuatu yang lebih mencabar, Angah merelakan diri untuk memakan cacing hidup dalam satu babak di dalam filem berkenaan.

“Ernie memang sudah memaklumkan pada saya, saya harus memakan cacing untuk memperlihatkan babak itu kelihatan real.

“Saya pula tidak merasa salahnya jika saya memakan cacing itu. Namun dua gigitan saja saya mampu bertahan dan saya terus telan. Memang rasa nak muntah, tapi saya tahan sahaja,” katanya.


Rezeki mencurah

Tambah Angah lagi, tahun 2011 meninggalkan memori yang manis buatnya apatah lagi, rezeki yang datang tidak putus-putus.

Katanya, selepas SMKB, dia sudah menyudahkan penggambaran lapan filem dan bakal menjalani penggambaran dua filem bermula hujung bulan ini.

“Alhamdulillah kerana sejak akhir-akhir ini, orang sudah mula nampak Angah. Sebelum ini orang kenal Angah, tetapi mereka tidak ingat siapa saya.

“Saya bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan oleh ALLAH SWT kepada saya,” katanya.

Di sebalik keletahnya yang tidak pernah gagal menggeletek hati penonton, Angah mengakui masih terselit perasaan sunyi selepas berpisah dengan isterinya empat tahun lalu.

Mengakui segala yang terjadi atas kesilapan sendiri, Angah berharap akan dapat kembali ke pangkuan bekas isteri dan anaknya jika masih berpeluang.

“Tipulah jika saya langsung tak rasa sunyi dan rindukan mereka. Saya masih sayangkan bekas isteri dan anak. Tetapi saya mahu kukuhkan kewangan dulu sebelum memujuk bekas isteri kembali bersama,” katanya.


Along teruja jayakan watak Bun

Sementara itu, Along atau nama sebenarnya Muhammed Nizamudin Ahmad berkata, dia begitu teruja berlakon dalam filem SMKB kerana wataknya sebagai Bun membawa kelainan dalam watak yang dibawanya sebelum ini.

“Watak Bun memerlukan saya membawa gaya percakapan yang berbeza dan menyebabkan rahang saya sakit kerana memerlukan saya bercakap gaya seperti itu.

“Tapi secara keseluruhannya saya berpuas hati dapat berlakon di bawah Ernie kerana filem ini lain dari lain,” katanya.

Tambahnya lagi, filem SMKB merupakan filem pertama yang menggandingkannya bersama dengan Azrul Cham semasa menyertai Raja Lawak dahulu.

"Selepas berakhir Raja Lawak, belum pernah lagi kami digandingkan bersama. Justeru bila peluang ini datang, tentulah saya teruja kerana dapat berganding dengan kawan saya yang sama-sama berjuang ketika di pentas Raja Lawak.

"Saya harap filem ini akan mendapat sambutan dan buat peminat dan penyokong Cham, mereka wajib untuk menonton filem ini walaupun tidak menggandingkan saya secara keseluruhan bersama Azrul tetapi saya puas hati," katanya.


Sentiasa rindukan Danial

Menyingkap kehidupannya selepas bergelar ayah sebulan lalu, Along mengakui kehidupannya banyak berubah dan kerap merindui isteri, Zila Seron atau Nur Azilah Seeron, 22, yang kini berpantang di rumah orang tuanya di Johor Bharu dan anaknya, Ahmad Danial.

Along yang akan berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Johor setiap hujung minggu akui amat gembira dan bahagia dengan kelahiran orang baru yang telah memberi sinar dalam rumah tangganya itu.

“Alhamdulillah, sehingga saat ini kami sudah dapat membiasakan diri dengan kehadiran orang baru. Saya terpaksa ulang alik ke sana kerana masih bekerja dan berurusan di Kuala Lumpur.

“Saya cepat rindukan Danial. Setiap hari saya akan telefon menerusi video dengannya. Danial mempunyai satu perangai pelik dan hanya ada satu cara tersendiri untuk memberhentikannya daripada menangis, iaitu apabila mendengar saya memanggil namanya.

“Jadi Zila akan menghubungi saya menerusi talian video untuk saya memanggil namanya kerana selepas itu secara automatik dia akan berhenti menangis,” katanya.

Tambahnya lagi, semenjak Danial masih dalam kandungan, rezekinya semakin murah kerana tawaran yang datang tidak putus-putus, dan jadualnya juga padat sehingga awal tahun depan.

“Jika ikutkan saya memang mahu sentiasa berada di samping isteri dan anak. Tapi rezeki yang saya terima ini adalah rezeki anak dan saya bersyukur kerana rezeki memang tidak putus waima selepas dia lahir,” katanya.