Monday, November 21, 2011

UIA batal dialog AUKU dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi


KUALA LUMPUR, 22 Nov — Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, yang popular dengan pendirian progresif menyentuh transformasi politik, kecewa apabila Universiti Islam Antarabangsa (UIA) membatalkan program yang sepatutnya beliau jayakan di kampus induk pusat pengajian tinggi itu di Gombak, malam tadi.

UIA didakwa membatalkan majlis itu atas alasan isu menyentuh Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) masih panas dan tidak mahu mewujudkan masalah.

Saifuddin (gambar) juga merupakan antara ahli politik yang lantang menyuarakan pendiriannya berkaitan dengan isu UIA menggantung tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari ketika beliau disiasat universiti itu bulan lalu.

“Ya, saya kecewa. Ini kali pertama saya berhadapan dengan pengalaman ini, sepatutnya UIA tidak membatalkan majlis ini . . . ia cuma satu majlis membicarakan tentang buku saya,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider malam tadi.

Mengikut jadual asal beliau sepatutnya berada di kampus UIA untuk menghadiri majlis membicarakan e-buku beliau bertajuk “Kalau Saya Mahasiswa” sempena program anjuran Persatuan Undang-Undang UIA.