Monday, November 14, 2011

Sebagai Eksekutif Promosi, Adlina kena baik dengan artis, media


Sering kali kita melihat wajah penyanyi kesayangan terpampang di dada akhbar dan majalah, mahupun menghiasi kaca televisyen.

Cerita terbaru mengenai mereka terutamanya berkaitan karier seni secara tidak langsung dapat memperkenalkan lagi nama penyanyi berkenaan kepada peminat.

Bagi penyanyi yang bernaung di bawah syarikat rakaman terkenal, Sony Music, nama Adlina Abu Bakar bukanlah asing lagi kerana insan inilah yang banyak menguruskan jadual seni mereka.

Bertindak sebagai Eksekutif Promosi di situ sejak dua tahun lalu, sudah menjadi tugas anak kelahiran pulau mutiara ini juga untuk memastikan setiap artis di bawah Sony Music mendapat publisiti dari media.

“Antara skop tugasan saya adalah menyediakan jadual harian untuk semua artis. Ini bagi memastikan segala urusan yang sudah ditetapkan seperti persembahan dan sebagainya tidak bertembung dan menggangu perjalanan karier mereka.

“Selain itu, saya juga perlu mempromosikan mereka di media terutamanya jika ada penyanyi yang baru muncul dengan lagu atau album baru.

“Misalnya, saya akan cuba mencari slot di setiap stesen televisyen bagi memperkenalkan berkenaan,” katanya memulakan perbualan.

Tidak sekadar tertumpu pada pengurusan artis, malah kata Adlina, dia juga bertanggungjawab terhadap promosi album.

“Segala info berkaitan album perlu didapatkan dengan teliti sebelum menghantar hebahan itu dalam bentuk siaran akhbar kepada media cetak dan elektronik yang memerlukan maklumat tersebut.

“Kebiasannya, saya terlibat dalam promosi album artis tempatan dan kompilasi melibatkan negara Asia seperti Indonesia, Korea dan India,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Pengurusan Seni), Universiti Malaya ini.
Cabaran dalam kerjaya

Setiap kerjaya pasti tidak terlepas daripada cabaran dan tugas ibu kepada seorang cahaya mata ini, menuntutnya berhadapan masa kerja yang tidak menentu.

“Sudah menjadi kebiasaan apabila saya terpaksa mengorbankan waktu di hujung minggu kerana perlu bekerja, terutamanya jika melibatkan acara besar.

“Sebagai seorang ibu, sudah tentu agak sukar untuk saya meninggalkan anak. Namun, sokongan suami dan pengurusan masa yang baik membolehkan saya mengatasi masalah ini,” katanya.

Selain itu, menurut Adlina, dia juga menghadapi kesukaran pada awalnya untuk membiasakan diri dengan skop tugasannya.

“Bukan mudah hendak mencari maklumat berkaitan produk yang ingin dikeluarkan, terutamanya berkaitan sesuatu yang kita tidak minat.

“Oleh itu, saya perlu bersikap teliti kerana tidak mahu siaran akhbar yang dibuat menyediakan info yang salah,” katanya.

Menurut Adlina lagi, tiada yang lebih menggembirakan dirinya sepanjang berkhidmat di syarikat antarabangsa itu, apabila kerjanya dihargai dan mendapat pujian.

"Apa yang paling penting, sikap jujur dan tanggungjawab itu perlu diamalkan bagi memastikan setiap kerja dilaksanakan dengan baik.

"Dalam hal ini, saya bersyukur kerana mendapat tunjuk ajar dan panduan dari teman-teman sebumbung dan pihak atasan yang memberi peluang kepada saya menimba pengalaman," katanya.

Baik dengan artis, media

Berkecimpung dalam bidang ini memerlukan Adlina untuk bergaul dengan ramai artis, namun menurutnya, hubungan itu perlu dijaga secara profesional.

“Mereka umpama ‘anak-anak’ kepada saya yang perlu diberi perhatian dan dijaga dengan baik. Sekiranya ada yang tidak kena, saya akan menegur dan memberi nasihat kepada mereka.

“Tidak dinafikan hubungan saya dengan mereka akrab dan tidak terhad atas tujuan kerja saja, bagaimanapun segala hal peribadi mereka juga perlu disimpan rapi,” katanya.

Dalam pada itu, kata Adlina, hubungan baik dengan media juga perlu dikekalkan bagi memastikan kerjasama baik akan berterusan.

“Ada masanya, saya akan membawa artis berjumpa dengan semua media. Bukan sekadar untuk tujuan promosi, tetapi juga bagi membina jaringan hubungan.

“Sekiranya kerjasama terjalin dengan baik, sudah tentu tiada masalah untuk meneruskannya lagi di masa hadapan,” katanya mengakhiri perbualan.