Tuesday, November 29, 2011

Pembangkang keluar dewan bantah bil perhimpunan



Ahli parlimen pembangkang bertindak keluar dewan hari ini bagi membantah tindakan kerajaan yang enggan membawa rang undang-undang perhimpunan aman untuk dibincangkan di peringkat jawatankuasa terpilih.

Ahli parlimen berkenaan juga bertindak demikian bagi membantah keputusan yang dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang hanya membenarkan ahli parlimen kanan pembangkang untuk berbahas.

Kumpulan berkenaan bertindak demikian pada kira-kira jam 3.15 petang ini selepas perbahasan oleh presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) dan juga setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng (DAP-Bagan).

Kumpulan wakil rakyat berkenaan juga tidak akan mengundi secara belah bahagi untuk menghalang rang undang-undang berkenaan daripada diluluskan petang ini.

Ahli parlimen berkenaan bagaimanampun memasuki Dewan semula untuk menyertai perbahasan selepas rang undang-undang perhimpunan aman diluluskan ahli parlimen BN untuk bacaan kali ketiga secara undian suara.

Rang undang-undang itu dilulus selepas dibahaskan oleh Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas), P Kamalanathan (BN-Hulu Selangor) dan juga menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz.

Dewan Rakyat turut meluluskan pindaan berhubung tempoh makluman untuk mengadakan perhimpunan dan juga tempoh bantahan dan rayuan rang undang-undang berkenaan.