Memang betul kata seorang teman baik Murai Batu. Ramai betul yang telah menggantikan foto profil laman sosial Facebook masing-masing ketika berpeluang merakamkan gambar dengan Kimora Lee Simmons baru-baru ini.
Murai Batu bukannya peminat fanatik Kimora, tapi suka juga melihat gelagatnya dalam Kimora: Life in the Fab Lane. Memang tiada siapa yang dapat menandingi perangainya yang memang diva habis. Takut Murai Batu dibuatnya.
Tapi bukan musim baru Kimora yang ingin Murai Batu cakapkan di sini, tapi kesungguhan seorang penyanyi popular Mizz Nina yang sanggup berasak-asak demi untuk bertemu lebih dekat dengan mogul fesyen antarabangsa itu.
Sanggup Mizz Nina melepaskan egonya sebagai seorang penyanyi popular tanah air, semata-mata kerana tidak mahu melepaskan peluang menyertai peminat lain yang memenuhi salah satu restoran di pusat beli-belah The Gardens pada Jumaat lalu.
Sedangkan dalam masa yang sama, beberapa lagi artis popular undangan seperti Datuk Siti Nurhaliza, Maya Karin Farah Fauzana dan Nana telah diberikan layanan VIP di dalam bilik khas supaya tidak berasak-asak dengan orang lain.
Terkejut juga Murai Batu mendengar cerita ini, kerana hakikatnya bukan semua orang berpeluang merakamkan gambar kenang-kenangan bersama-sama model berkenaan, kerana suasana 'havoc' yang berlaku di dalam restoran berkenaan, hanya Tuhan saja yang tahu.
Apatah lagi, Kimora telah di kawal rapat oleh enam pengawal peribadi berbadan sasa lagi tinggi lampai bagi memastikan dia tidak terus diterkam atau menjadi magsa rebutan peminatnya yang terlalu fanatik terhadapnya.
Walau bagaimanapun, Mizz Nina nampaknya tak mahu melepaskan peluang keemasan itu. Dia memilih untuk sama-sama menyertai peminat lain, berebut-rebut dan menjeri-jerit memanggil nama Kimora bagi menarik perhatian ibu kepada tiga orang cahaya mata itu.
Kalau ada rezeki pasti Kimora akan menghampiri dan jika rezeki lebih menyebelahi, mungkin Kimora akan bersetuju untuk bergambar bersama-sama.
Bagi Murai Batu, mungkin ada sesetengah pihak beranggapan tindakan Mizz Nina itu tidak sepatutnya terjadi kerana dia adalah penyanyi popular dan namanya semakin meniti bibir di peringkat antarabangsa. Maka dia perlu menjaga 'class' nya tersendiri.
Tapi menurut Murai Batu, selebriti adalah seorang manusia juga dan mereka mempunyai kelompok idolanya sendiri, maka tindakan Mizz Nina berada dalam keramaian manusia itu tidak lebih sebagai menyokong idola kegemarannya.
Bagaimanapun sebagai selebriti popular, Mizz Nina juga perlu menjaga 'standart' dan keselamatannya. Mana tahu jika berlaku sebarang kemalangan atau ada individu yang cuba dengki, pasti ianya akan memudaratkan Mizz Nina. Betul tak?
Murai Batu: Cemburu dengan Detektif Stailista kita sorang tu yang berpeluang bahu ke bahu dengan Kimora Lee untuk dua hari berturut-turut. 'Over' tau.