Wednesday, November 9, 2011

Merong Mahawangsa, Syamsul Yusof Dominasi calon FFM24 (GAMBAR)


KUALA LUMPUR, 9 NOVEMBER 2011: Filem Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) terbitan KRU Studios dan juga pengarah muda, Syamsul Yusof nampaknya mendominasi pencalonan Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) yang akan dipertandingkan pada 20 November ini.


Apa yang pasti, dalam 12 pencalonan dari 23 kategori yang dipertandingkan, filem epik arahan Yusry Abdul Halim itu telah menerima pencalonan dalam beberapa kategori utama termasuk Pengarah Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Sinematografi Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Penyunting Terbaik dan Skor Muzik Asal Terbaik.

Diikuti filem Nur Kasih The Movie arahan Kabir Bhatia juga tidak kurang hebatnya apabila menerima 11 pencalonan. Diikuti rapat oleh filem KL Gangster (9), Khurafat dan Cun (8).

Manakala filem Senjakala, ... Dalam Botol, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Kongsi dan Libas masing-masing menerima empat pencalon. Kemudian filem Flat 3A, Janin dan Sekali Lagi mendapat tiga pencalonan.

Tidak ketinggalan, filem Al-Hijab, Sumpahan Puaka, Mantra, Bini-Biniku Gangster, Hantu Boceng, Karak, Aku Bukan Bodoh dan Klip3GP masing-masing menerima dua pencalonan.

Sementara itu, pengarah muda, Syamsul Yusof pula adalah antara individu yang menerima pencalonan terbanyak selepas mendominasi 10 pencalonan dalam FFM24 kali ini.

Malah, dalam satu kategori nama Syamsul berjaya tercalon untuk dua filemnya iaitu Khurafat dan KL Gangster dengan serentak. Kategori tersebut adalah Penyunting Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

Syamsul juga turut tercalon dalam beberapa kategori lain seperti Pengarah Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik dan Kesan Visual Terbaik.

Bertemakan 'Gemilang Filem Malaysia' penyertaan FFM24 tahun ini menyaksikan penyertaan terbanyak dalam sejarah industri perfileman tanah air apabila sejumlah 41 buah filem cereka dipertandingkan berbanding 29 filem pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah tersebut, 13 buah filem terbitan syarikat produksi Metrowealth International Group (MIG) terpilih dalam saringan awal tersebut diikuti Grand Brilliance Sdn Bhd (7) dan Tayangan Unggul (5).

Pada malam anugerah kelak, tiga Anugerah Perdana Khas turut disampaikan iaitu Filem Pilhan Penonton ASTRO, Pencapaian Gemilang dan Pencapaian Sepanjang Hayat.

Malam kemuncak FFM24 akan berlangsung pada 20 November ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan bakal menampilkan persembahan lagu-lagu tema daripada filem dipertandingkan.

FFM24 akan disiarkan secara langsung di Astro Prima (saluran 105).

No comments:

Post a Comment