Wednesday, November 30, 2011

Memey Menangis Berjauhan Dengan Norman


“Alhamdulillah, saya gembira sangat-sangat dengan kehidupan sekarang walaupun tengah sibuk dengan jadual penggambaran. Saya kini bahagia meniti alam perkahwinan,” ungkap pelakon, Memey Suhaiza, berkongsi mengenai kehidupannya selepas bergelar isteri kepada aktor, Norman Hakim.

“Sekarang saya rasa betul-betul tenang. Saya dah tak perlu fikir apa orang nak cakap. Syukur, alhamdulillah, saya gembira dengan kehidupan baru ini. Saya kini menjalani kehidupan biasa sebagai seorang isteri, memasak untuk suami dan juga menguruskan hal rumahtangga,” ujar gadis berusia 23 tahun ini sambil memberitahu sering memasak masakan Barat seperti ‘lamb chop’, beef grilled’ dan masakan rebus untuk suaminya.

Memey yang ditemui ketika majlis pelancaran ‘Pameran Busana Perkahwinan Mutiara’ di Muzium Negara, petang tadi kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri ‘Layar Impian’ dan ‘Bila Waktu Menjemputmu’. Ketika ditemui, Memey turut memberitahu beliau kini terpaksa berjauhan dengan suami tercinta selama sebulan kerana perlu menjalani penggambaran kedua buah drama tersebut di Semporna, Sabah. 

“Ini pengorbanan saya untuk kerja. Saya hanya cuti kahwin selama seminggu sebelum menjalani penggambaran drama Nilapura di Ipoh. Sebab itu sebelum ini saya sanggup ulang alik dari Kuala Lumpur ke Perak tiap-tiap hari kerana saya tahu selepas itu saya kena terus sambung penggambaran di Semporna.

“Saya sudah menjalani penggambaran di Semporna sejak 2 November lalu. Ini kali pertama saya berjauhan dengan abang Norman. Sebelum kahwin pun, kami tak pernah berjauhan seperti ini. Pada mulanya, abang agak keberatan untuk melepaskan saya, namun saya sendiri nak sangat buat drama ini. Lepas lama juga pujuk, akhirnya abang benarkan juga saya pergi. Dia tak adalah mengongkong sangat, tapi dia hanya memainkan peranan dia untuk menjaga saya.

“Masa seminggu kat Sabah, saya menangis bila bercakap telefon dengan abang. Saya kesian kat abang sebab hari-hari dia merungut tak ada siapa masak dan basuh baju untuk dia. Sebelum ini memang kami tak pernah berjauhan. Dia faham saya sibuk, cuma kadang-kadang dia rindu tak ada siapa masak untuk dia. Tapi dah masuk dua minggu, saya dah boleh terima. Saya sibukkan diri saya dengan kerja, jadi saya tak fikir sangat,” ujar Memey yang akan tamat penggambaran pada 5 Disember ini.

Apabila diusik mengenai isu cahaya mata, Memey memberitahu, “Terus-terang memang Memey merancang. Tapi tidaklah terlalu lama mungkin dalam setahun saja, namun yang pasti bukan dalam masa terdekat ini. Walau bagaimanapun, jika dapat awal, saya tak kisah dan tak menolak kerana semuanya bergantung kepada rezeki Allah. InsyaAllah, selepas tamat penggambaran ini, kami akan pergi bercuti di Paris pada penghujung bulan Disember nanti,” ujar Memey mengakhiri perbualan.