Wednesday, November 23, 2011

Mahathir : Perwakilan perlu berhati-hati elak dijadikan isu oleh pembangkang


KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap Perhimpunan Agung UMNO 2011 bermula Selasa depan penting untuk menyampaikan mesej bahawa dasar atau pendekatan dilaksana kerajaan diterima ahli parti dan rakyat keseluruhannya.

“Perhimpunan kali ini penting kerana jika ahli parti memberi sokongan kepada dasar dirancang kerajaan, kemungkinan besar orang lain juga akan menerima dasar dan pendekatan dilaksanakan itu,” katanya.

Ada cara kita ketengah sesuatu perkara penting untuk kesejahteraan parti, tetapi tidak boleh digunakan oleh parti lawan. Teguran secara sopan adalah cara terbaik. Kalau tidak, parti akan lari daripada perjuangan dan tidak ada sesiapa dapat menghentikan aliran itu dan balik kepada perjuangan asal. - Dr Mahathir Mohamad, Bekas Perdana Menteri Bagaimanapun, dalam memberi sokongan, beliau mengingatkan ahli agar berani menegur jika berpendapat ia penting untuk parti, orang Melayu dan negara keseluruhannya.

“Jika tidak ada teguran, pemimpin akan berpendapat segala yang dilakukan memang diterima. Dengan itu kalau apa yang dilakukan itu salah, maka kesalahannya akan bertambah,” katanya dalam rancangan Soal Jawab menerusi TV3 malam tadi yang dihoskan Datuk Ahmad A Talib.

Namun, menjelang pilihan raya umum ini, beliau berpendapat pihak yang membuat teguran dalam perhimpunan agung perlu lebih berhati-hati agar teguran tidak dijadikan isu oleh pembangkang. 

“Ada cara kita ketengah sesuatu perkara penting untuk kesejahteraan parti, tetapi tidak boleh digunakan oleh parti lawan. Teguran secara sopan adalah cara terbaik. Kalau tidak, parti akan lari daripada perjuangan dan tidak ada sesiapa dapat menghentikan aliran itu dan balik kepada perjuangan asal,” katanya. 
Beliau berkata, orang yang membuat teguran perlu menggunakan bahasa tertib dan secara umumnya dalam UMNO memang ada ketertiban dan tidak ada cara kurang sopan dilakukan oleh jurucakap dipilih.

Mengenai pandangan disuarakan oleh perwakilan, Dr Mahathir berkata pada zamannya, pemimpin mendengar apa yang diperkatakan oleh jurucakap kerana ia boleh menentukan sama ada pemimpin terus popular. 

“Kalau kita ketepikan atau tidak ambil langsung apa yang diperkatakan oleh perwakilan, mereka berasa curiga, kecewa dan mungkin populariti kita menurun,” katanya.

Dalam rancangan itu, Dr Mahathir menjawab pelbagai persoalan yang meliputi sikap ahli UMNO, calon yang bakal dipilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan kesedaran agar orang Melayu kembali bersatu.

Seperti kelaziman, ketika menjawab soalan, bekas Presiden UMNO itu begitu bersahaja, berterus-terang dan berani menyatakan hujahnya secara terbuka tanpa berselindung.

Bagi pemimpin veteran UMNO itu, perhimpunan agung harus digunakan sebagai kesempatan untuk menjelaskan dasar baru parti yang akan diterapkan oleh kerajaan. 

Dr Mahathir juga berkata, transformasi dilakukan dalam parti hendaklah menjurus kepada perjuangan UMNO dulu, di mana ahli mengutamakan parti dan bukannya diri sendiri. 

“Kalau kita berpegang pada UMNO ketika ditubuhkan dulu, masa itu kita cukup kuat kerana perjuangan untuk parti, bangsa dan agama. Tiada kesetiaan kepada individu tertentu, asalkan dipilih oleh parti, semua akan menyokong,” katanya. 

Berhubung perubahan landskap politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008, beliau berkata pemimpin UMNO perlu turun ke bawah dan menerangkan kepada orang Melayu apa yang sudah terjadi agar mereka faham dan tidak terus berpecah belah.

“Saya masih teringat ketika kita mula membentuk sebuah parti untuk menentang Malayan Union, masa itu Melayu berpecah tetapi kita memberi penjelasan kenapa mereka harus bersatu dan lupakan negeri masing-masing yang mempunyai Raja berlainan,” katanya.