Wednesday, November 30, 2011

Kos KLIA2 naik, siap 2013 (3 GAMBAR)

KLIA2 - New Mega Low Cost Carriers Terminal

Kos pembinaan KLIA2 yang bakal menggantikan Terminal Lapangan Terbang Tambang Murah meningkat kepada RM3.9 bilion ekoran penambahbaikan yang dilakukan di terminal baharu itu.

Berikutan itu juga, KLIA2 dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada April 2013, enam bulan lewat berbanding tarikh sebelumnya.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Tan Sri Bashir Ahmad berkata, penambahbaikan dalam keluasan KLIA2 itu dibuat bagi membolehkan terminal itu menampung penumpang sebanyak 45 juta berbanding anggaran awal 30 juta sebelum ini.

Antara spesifikasi yang dinaik taraf ialah keluasan bangunan terminal daripada 150,000 meter persegi kepada 257,000 meter persegi, kawasan pesawat turut ditambah daripada 500,000 meter persegi kepada 803,709 meter persegi dan kerja-kerja tanah juga bertambah dengan membabitkan keluasan 11.19 juta meter persegi berbanding 4.85 juta meter persegi.

Kawasan landasan dan taxiway ditingkatkan kepada 3.96 kilometer berbanding 2.50 kilometer, selain menara kawalan trafik udara juga dibina pada ketinggian 93 meter berbanding 77 meter.

‘‘Penambahan kemudahan ini bukan sahaja mengambil kira peningkatan jumlah penumpang pada masa depan, sebaliknya ia juga memberi kelebihan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur secara keseluruhannya.

‘‘Memandangkan skop spesifikasi KLIA2 telah ditingkatkan, sudah tentu mustahil untuk mengekalkan kos sebelum ini.

Terminal KLIA2 kini sudah 40 peratus disiapkan.
‘‘Dan, kos sebanyak RM3.9 bilion untuk kemudahan dan spesifikasi yang dibuat setakat ini berbanding RM2 bilion sebelum ini,’’ katanya pada sidang akhbar selepas lawatan dan taklimat media mengenai KLIA2 di sini hari ini.

Menurutnya, KLIA2 dibina sebagai sebuah aset infrastruktur nasional untuk memenuhi keperluan syarikat-syarikat lapangan terbang, kerajaan, rakyat dan lapangan terbang.

Beliau berkata, kos itu masih lagi rendah berbanding projek-projek terminal lapangan terbang yang sama.

‘‘Kos terakhir bergantung kepada cukai jualan yang diperoleh semula dan potensi simpanan daripada kontrak yang dianugerahkan,’’ tambah beliau.

Selain penambahbaikan itu, Bashir berkata, terdapat beberapa perubahan yang dilakukan atas kehendak AirAsia Bhd. (AirAsia) termasuk sistem pengurusan bagasi.

Bashir berkata, sebelum ini, AirAsia mahukan pengendalian bagasi dilakukan secara manual meskipun idea itu ditolak oleh MAHB memandangkan KLIA2 bakal menguruskan lebih 10 juta penumpang.

‘‘Apabila bangunan sudah disiapkan akhirnya AirAsia membuat keputusan untuk menggunakan (pengendali bagasi) secara automatik sepenuhnya menyebabkan bangunan yang sudah tersedia terpaksa diruntuhkan,’’ tambahnya.

Ditanya bagaimanakah MAHB akan mendapat dana bagi menampung kenaikan kos KLIA2, Ketua Pegawai Kewangannya, Faizal Mansur berkata, syarikat itu mempunyai baki sebanyak RM600 juta daripada terbitan sukuk yang belum ditebus.

KLIA2 Satellite View