Friday, November 18, 2011

Keunikan Sandara Park punca 2NE1 raih pengiktirafan antarabangsa


Sebaliknya mereka fokus menonjolkan bakat seni suara. Mungkin sebab itu, 2NE1 pantas meraih pengiktirafan antarabangsa berbanding grup wanita lain. Terbaru mereka dianugerahkan 'Best New Band in the World' oleh MTV Iggy.

Difahamkan undian dibuat meliputi peminat dari 168 negara dan menariknya, sebahagian besar undi yang membawa kemenangan kepada 2NE1 adalah dari Amerika Syarikat dan Filipina - mengatasi undian peminat mereka di Korea Selatan.

Antara penyumbang kemenangan 2NE1 ini rasanya tidak lain tidak bukan ialah kerana anggotanya, Sandara Park atau Dara yang cukup popular di Filipina.

Wanita kecil molek yang nampak cukup muda berbanding usia sebenarnya yang mencecah 27 ini fasih berbahasa Tagalog kerana membesar di negara itu malah boleh dikatakan bakatnya dalam bidang hiburan, baik menyanyi mahupun berlakon dicungkil ketika di Filipina.

Jika gaya fesyen 2NE1 dianggap lain daripada grup idola wanita Korea lain, Dara pula boleh dikatakan unik terutama fesyen rambutnya!

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YG, Yang Hyun Suk, ketika muncul dalam satu program temu bual terbitan SBS tidak lama dulu, pernah mendedahkan tentang sifat unik Dara yang menjadi artis naungan syarikatnya.

"Nama gelaran Sandara Park ialah 'Gadis dari planet Marikh'. Dia tak nampak macam datang dari bumi. Saya sudah lama memerhatikannya, namun sampai kini, setiap kali melihatnya, dia nampak macam dari planet lain," katanya.

Mungkin kerana keunikannya, kakak anggota kumpulan MBLAQ, Thunder ini mendapat perhatian ramai termasuk bos syarikat rakaman lain iaitu Park Jin Young. Syarikatnya JYP menaungi artis seperti 2PM dan Miss A.

Ketika ditemu bual dalam program sama, Jin Young yang diberi tiga pilihan sekiranya berpeluang merekrut artis daripada syarikat YG, memilih Dara sebagai seorang daripadanya.