Tuesday, November 22, 2011

Kemenangan Libas dipertikai


SELEPAS dikritik kerana menang Anugerah Pengarah Harapan pada FFM 24, kini filem arahan Jurey, Libas dikritik pula kerana merangkul anugerah untuk kategori Cerita Asal Terbaik.


BERAKHIR sudah Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM 24) yang bertemakan Gemilang Filem Malaysia yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, kelmarin. Namun, gemilang sambutan FFM 24 tidak dapat dirasai apabila melihat banyak kerusi kosong dan majlisnya boleh dikatakan berjalan secara mendatar.

Penyelamat majlis malam itu terletak di tangan pengacaranya Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Johan yang dilihat bersungguh-sungguh untuk membikin lawak, menaikkan mood penonton di rumah dan juga di pusat konvensyen serta membaca segala info yang berjela-jela.

Malah, persembahan malam itu juga berada di tahap biasa-biasa sahaja, tiada yang luar biasa. Sekadar mampu melihat tidak terkesan di hati.

Mungkin kerana ini penganjuran Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) yang pertama masih banyak yang mereka perlu perbaiki.

Apapun syabas buat Gafim kerana berjaya menganjurkan FFM 24 meskipun disulami pelbagai kontroversi sejak dari perancangan FFM 24 berjalan. Malam itu, kebanyakan calon yang diramalkan menang berlandaskan prestasi dan kualiti namun satu anugerah telah mengundang kontroversi.

Anugerah yang dimaksudkan adalah untuk kategori Cerita Asal Terbaik yang dimenangi oleh filem Libas menerusi karya Martias Mohd. Ali yang mana ia merupakan filem pertama arahan Presiden Gafim sendiri, Jurey Latiff Rosli!

Apa yang dipertikaikan bagaimana filem ini boleh memenangi Cerita Asal Terbaik sedangkan pengarah dan penerbitnya terang-terangan mengakui mereka mengambil sedikit idea daripada filem Hong Kong, Shaolin Soccer dan sekadar menambahbaik untuk dihasilkan menjadi filem Libas.

Apabila ditonton, memang filem itu mirip dengan filem Shaolin Soccer, cuma ia seolah-olah ditukar wajah untuk disesuaikan dengan selera Malaysia sahaja. Jurey yang ditemui pada sesi sidang media FFM24 bagaimanapun berharap kemenangan Libas untuk kategori tersebut tidak perlu dijadikan isu kerana ia terletak di tangan juri yang memilih.

"Saya bukan calon kategori Cerita Asal Terbaik, syarikat MDAG Marketing yang menghantar filem itu kerana ia layak bertanding. Juri yang memilih untuk filem Libas menang, saya tidak ada kena mengena dengan penjurian," balas Jurey.

Kemenangan filem Libas untuk kategori Cerita Asal Terbaik telah mengalahkan empat filem yang lain iaitu Hantu Kak Limah Balik Rumah (arahan Mamat Khalid), Khurafat (Syamsul Yusof), KL Gangster (Syamsul Yusof) dan Nur Kasih The Movie (Mira Mustaffa).

Tidak perlu pertikaian

Libas juga dalam pada itu terpilih untuk memenangi salah satu kategori khas juri iaitu kerana memaparkan elemen seni warisan Nusantara iaitu permainan sepak raga atau sepak takraw.

Nampaknya selepas ini, jika ada mana-mana penerbit yang berani menerbitkan filem yang ada unsur-unsur tradisi pasti akan memenangi anugerah khas juri pada tahun hadapan!

Bercakap mengenai anugerah-anugerah khas juri pada FFM 24, Pengerusi Jawatankuasa Penjurian dan Penyertaan, Nancie Foo menjelaskan, semua pemenang yang dipilih untuk menerima anugerah khas juri kerana mereka layak dan pihak juri telah sebulat suara memilih pemenangnya.

"Tidak perlu ada sebarang pertikaian, semua pemenang yang dipilih kerana kualiti serta sumbangan mereka ke dalam industri," kata Nancie.

Selain Libas, anugerah khas juri turut diberikan kepada filem Janin sebagai filem berbentuk seram/mistik terbaik. Walaupun filem itu tidak mendapat kutipan pecah panggung, namun pengisian filem tersebut mengenai kasih sayang ibu dan anak yang bertukar menjadi hantu telah melayakkan Janin untuk menerima anugerah tersebut mengalahkan 21 buah filem seram lain yang turut bertanding di FFM 24.

Dua lagi anugerah khas juri diberikan masing-masing kepada Allahyarham Zami Ismail untuk anugerah Pelakon Komedi Terbaik dan juga anugerah Bintang Wayang Gambar yang diterima oleh pelakon Sidek Hussein yang dinilai berdasarkan kecemerlangan, kecekalan dan disiplin yang tinggi sebagai pelakon.