Thursday, November 17, 2011

Hikayat Merong Mahawangsa Ungguli Pembukaan FFM24 (3 GAMBAR & KEPUTUSAN PENUH)



Bertemakan ‘Gemilang Filem Malaysia’, Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM 24) telahpun membuka tirainya dengan majlis perasmian di Panggung Anniversary, Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur, malam tadi.


Majlis anugerah yang mengangkat martabat dan karya hasil seni penggiat filem tempatan ini telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin.

FFM 24 membuka tirai penganugerahannya dengan Malam Anugerah Gemilang Cipta yang menyaksikan 10 kategori dipertandingkan iaitu Poster Terbaik, Kesan Visual Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Pelakon Harapan Wanita, Pelakon Harapan Lelaki, Lagu Tema Asal Terbaik, Pengarah Harapan, Filem Pendek Terbaik, Filem Animasi Terbaik dan Filem Cereka Bukan Bahasa Melayu Terbaik.


Seperti tahun lepas, KRU Studios terus mendominasi Malam Anugerah Gemilang Cipta di mana kali ini mereka berjaya membolot 3 trofi menerusi filem ‘Hikayat Merong Mahawangsa’ iaitu Poster Terbaik, Kesan Visual Terbaik (Yusry Abdul Halim) dan Lagu Tema Asal Terbaik (“Sedetik Lebih” - Edry Abdul Halim).



“Alhamdulillah, saya dapat mempertahankan kategori Lagu Tema Asal Terbaik yang dimenangi tahun lepas. Bagi saya, ini merupakan tiga minggu yang bermakna buat KRU Studios kerana kami berjaya membawa pulang trofi dalam ketiga-tiga anugerah yang berlangsung iaitu Anugerah Skrin 2011  (ASK 2011), Anugerah Industri Muzik 18 dan juga FFM 24.

“Kami dah hasilkan yang terbaik dan semestinya kami mengharapkan titik peluh kami ini dinilai dengan konsisten oleh juri yang profesional. Alhamdulillah, ini semua adalah rezeki KRU Studios pada tahun ini,” ujar Edry.


Bakat pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di ASK 2011, Nadiya Nisaa terus diiktiraf apabila beliau dinobatkan sebagai Pelakon Harapan Wanita menerusi filem ‘Cun’ pada malam tadi. Manakala kategori Pelakon Harapan Lelaki dimenangi oleh Taiyuddin Bakar menerusi filem ‘Hantu Bonceng’.

Berikut merupakan keputusan penuh 10 pemenang bagi Malam Anugerah Gemilang Cipta FFM 24:


Poster Terbaik: Hikayat Merong Mahawangsa (KRU Studios)
Kesan Visual Terbaik: Yusry Abdul Halim - Hikayat Merong Mahawangsa (KRU Studios)
Pelakon Kanak-Kanak Terbaik: Mia Sara Nasuha - Sekali Lagi (Metrowealth Pictures)
Pelakon Harapan Wanita: Nadiya Nisaa - Cun (Tayangan Unggul)
Pelakon Harapan Lelaki: Taiyuddin Bakar - Hantu Bonceng (Excellent Pictures)
Lagu Tema Asal Terbaik: Edry Abdul Halim - Sedetik Lebih (KRU Studios)
Pengarah Harapan: Jurey Latiff Rosli - Libas (MDAG Marketing)
Filem Pendek Terbaik: The Other One (Ng Ken Kin)
Filem Animasi Terbaik: Altitude Alto (Mushroomhead - Multimedia Uni)
Filem Cereka Bukan Bahasa Melayu Terbaik: Great Day (Woohoo Pictures Sdn Bhd)