Tuesday, November 1, 2011

Faezah Elai atau Ning Baizura Jadi Pemenang?


Antara Ning Baizura dan Faezah Elai, siapakah pilihan juri untuk memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah Skrin 2011 (ASK 2011)? Kedua-dua bintang ini beraksi cemerlang dalam filem Cun! yang menyaksikan gandingan romantik Remy Ishak dan Maya Karin sehingga menenggelamkan dua pelakon utama filem tersebut.


Kalau ikut GUA, kedua-dua pelakon ini memang layak menang. Masing-masing berjaya menjiwai watak yang dipertanggungjawab. Berbanding lakonannya dalam filem Otai, penampilan Faezah kali ini cukup berbeza. Sebagai Tom, dia nampak bersahaja, selesa serta banyak ‘memberi’ kepada watak utama, Maya Karin.  Kalau Faezah tidak berada di samping Maya, rasanya jalan cerita menjadi sedikit hambar.

Tentang penampilan Ning Baizura pula, selain berjaya memecah tawa penonton, pelakon dan penyanyi ini juga mengundang rasa benci penonton. Apa tidaknya, watak Candy sangat mementingkan diri sendiri. Dia sanggup melakukan apa sahaja asalkan program ‘Meletops’ terbitannya mendapat rating tertinggi. Ning membuktikan dia boleh berlakon dengan baik walaupun bidang lakonan bukanlah fokus utamanya.

Seorang lagi pelakon yang mungkin tersenarai ialah Diana Amir. Masih ingat lagi dengan penampilannya sebagai Hani, seorang remaja bermasalah dalam filem Aku Masih Dara. GUA sendiri tidak sangka pelakon yang mula digilap menerusi drama Impian Sunsilk ini berani beraksi ‘daring’. Langsung tidak gentar mendapat kecaman peminat.

Beralih kepada pelakon pembantu lelaki pula, GUA ada dua nama yang  ingin disebutkan. Pertama, Bront Palare yang membawa watak Haris dalam filem ‘Sekali Lagi’. Memang watak sebagai pengusaha warung ini nampak mudah, tetapi Bront berjaya menambah warna kepada keseluruhan jalan cerita. Bront ada gaya tersendiri dan seandainya watak itu diberikan kepada orang lain, mungkin keberkesanannya tidak sama.

Seorang lagi pelakon yang mungkin mencipta kejayaan ialah Khir Rahman. Penampilannya dalam ‘Hikayat Merong Mahawangsa’ sebagai Kamawas cukup menyakitkan hati . Malah ada penonton yang mengakui rasa ingin menampar pelakon ini jika dia berada di depan mata gara-gara sikap kurang ajarnya kepada Puteri China. Malah sikapnya yang bongkak juga cukup menjengkelkan.

Khir tidak mensia-siakan peluang yang diberi oleh KRU Studio untuk beraksi cemerlang. 


Siapa pula pilihan anda? Adakah sama dengan pilihan GUA atau sebaliknya? Sama-sama kita nantikan pada Jumaat ini siapa yang bakal mengukir kejayaan manis.

No comments:

Post a Comment