Friday, November 4, 2011

China labur RM2.5 bilion projek Iskandar Malaysia


ISKANDAR Investment Bhd, pemangkin pemaju projek Iskandar Malaysia, memperoleh pelaburan hartanah bernilai RM2.5 bilion daripada syarikat China, Qingdao Zhouyuan Investment Holdings (Qingdao Zhouyuan) iaitu anak syarikat pemaju hartanah berpangkalan di Hebei, Zhouda Real Estate Group.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, projek pelaburan dalam tiga fasa itu, bermula tahun depan dan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun.


“Inilah pertama kali pelaburan hartanah syarikat asing di Medini Iskandar Malaysia dan projek pelaburan terbesar di kawasan berkenaan setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani dua perjanjian rangka kerja dengan Qingdao Zhuoyuan untuk pembangunan kediaman bercampur dan projek komersial di Medini Iskandar di Kuala Lumpur, semalam.


Majlis itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, diadakan bersempena dengan Forum Ekonomi China Dunia yang ketiga.


Rangka kerja pertama ialah untuk pembangunan usaha sama antara Iskandar Investment dan Qingdao Zhuoyuan untuk memajukan projek kediaman seluas 7.256 hektar plot di Utara Medini, berhampiran dengan Legoland Malaysia.


Jumlah nilai jualan (TSV) projek yang juga 80 peratus milik Qingdao Zhouyuan, ialah RM157.6 juta dan anggaran pelaburan mencecah RM1.2 bilion. -Bernama

No comments:

Post a Comment