Wednesday, November 9, 2011

Ambiga beri amaran keras kpd TV3


KUALA LUMPUR – Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreevenasan mengugut untuk mengambil tindakan saman terhadap TV3 dan mendakwa stesen televisyen itu telah melakukan fitnah terhadap penganjuran program Seksualiti Merdeka.

Bekas Presiden Majlis Peguam itu turut mencabar supaya TV3 menyiarkan kenyataan beliau dan rakan-rakannya semalam secara verbatim atau berdepan dengan tindakan undang-undang darinya.
“Saya mencabar TV3 agar melaporkan dengan penuh apa yang diperkatakan oleh Datuk Paduka Marina Mahathir. Saya juga mencabar anda menyiarkan segala apa yang saya katakan sekarang.
“Anda mengelirukan public. Anda memanggil yang ini sebagai festival seks bebas. Saya mencabar anda membawa setiap yang saya katakan atau tidak saya boleh menjamin anda, anda akan mendengar daripada peguam-peguam saya dalam isu ini.

“Jaga-jaga TV3!,” katanya yang dipetik dari Malaysian Insider di pejabat badan bukan kerajaan (NGO), Tenaganita, sejurus selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, di sini semalam.
Ambiga turut menjelaskan bahawa beliau telah disoal siasat di bawah Seksyen 298 dan 109 Kanun Keseksaan, serta di bawah Akta Polis berhubung kesalahan menyinggung sentimen agama seseorang.
Anak sulung mantan Perdana Menteri, Datuk Marina Mahathir yang turut berada di sidang media itu menyokong penuh kenyataan rakannya itu dan meluahkan rasa marahnya yang amat sangat terhadap TV3 yang dikatakan membuat fitnah tersebut.
Menurutnya, program Seksualiti Merdeka itu bukannya bertujuan untuk menggalakkan amalan seks bebas namun lebih kepada membantu kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk memahami hak mereka dari sudut undang-undang.
“Saya sangat marah, sangat marah, tiada perkara untuk menggambarkan ke atas sesetengah pihak yang menganggap ini sebagai festival seks bebas. Anda tiada perkara lebih baik untuk dilakukan? Seks bebas memang tidak dibenarkan di sini… adakah anda gila (sehingga) boleh menggambarkan perkara ini?
“Ia adalah satu acara untuk menjelaskan dan mendidik tentang hak mereka dalam lingkungan perundangan, dan bukannya di luar lingkungan,” katanya meluahkan rasa marahnya.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, mengumumkan bahawa Polis Diraja Malaysia mengharamkan program Seksualiti Merdeka demi menjaga ketenteraman awam dan sensitiviti masyarakat umum berkuatkuasa serta merta pada Khamis lalu.
“Polis akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 27 A (1) (C) dan juga 298 A Akta Polis untuk menghalang sebarang penganjuran majlis itu,” katanya di sidang media tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa undang-undang di negara ini tidak mengiktiraf sama sekali kegiatan songsang yang boleh menghancurkan kehidupan beragama di Malaysia.
Program yang bertemakan “Queer Without Fear” itu dijadualkan bermula 1 November lalu dan sepatutnya berakhir pada  13 November ini diadakan bertujuan untuk mendesak hak sama rata untuk golongan homoseksual serta transeksual di negara ini seperti gay, lesbian, biseksual dan transgender.
Sehubungan itu, beliau bagi pihak Polis DiRaja Malaysia, meminta orang awam supaya tidak menyertai program tersebut kerana ia boleh mengganggu ketenteraman awam.

No comments:

Post a Comment