KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said semalam, membuat laporan polis terhadap blogger berhubung fitnah kononnya beliau ditangkap khalwat.
Laporan itu dibuat Setiausaha Politiknya, Wan Ahmad Nizam Wan Hakim di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada jam 3.35 petang.
Selain laporan, Wan Ahmad Nizam turut menyerahkan bahan bukti berupa salinan laporan blog berkaitan isu tersebut yang dicetak bagi membantu siasatan polis.
Katanya, pihaknya meminta polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas individu yang melakukan perbuatan fitnah itu.
Sebelum ini, Ahmad berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa penulis blog yang dikatakan memfitnah beliau kononnya ditangkap khalwat.
Menurutnya, beliau terpaksa bertindak menyaman pemilik blog kerana terlalu sedih dan kecewa dengan fitnah melampau yang ditujukan kepadanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika ditemui mengesahkan menerima laporan tersebut.
Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.
No comments:
Post a Comment