Petua Lama Pegangan Almy Nadia kekal jelita (4 GAMBAR)
CUBA mengira satu per satu rentetan cerita yang dihebohkan, kebanyakan kisah tentang pelakon ini, berkisar cinta.
Siapa tidak kenal Almy Nadia Aminuddin Shah (Almy Nadia), 24, kekasih kepada pelakon Fizz Fairuz. Jika ke mana-mana, pasti ada yang bertanya kepadanya mengenai si kekasih hati.
Namun, sejak akhir-akhir ini, kedua-duanya sibuk dengan komitmen masing-masing.
Bagaimanapun, mereka masih berhubungan seperti biasa walaupun masa tidak mengizinkan untuk selalu bertemu.
Malah kedua-duanya pernah dikatakan putus cinta gara-gara gosip teman lelakinya itu curang dengan wanita lain. Biarpun begitu, Almy tidak tahu bagaimana respons yang harus diberikan apabila terlalu ramai pihak yang bertanyakan tentang perkara tersebut.
“Saya elak terlalu banyak memberikan kenyataan tentang Fizz kerana bimbang bercanggah dan ia boleh serabutkan kepala saya,” katanya kepada OopStarz! ketika ditemui di Menara Star, Petaling Jaya.
Tinggalkan sementara kisah cinta wanita yang mula popular menerusi drama Dunia Baru ini. Sebenarnya ada cerita menarik yang ingin dikongsi oleh Almy tentang penjagaan kecantikan.
Tengok sahaja kulitnya, ramai yang tertanya-tanya apakah produk yang digunakan oleh pelakon berasal dari Balik Pulau, Pulau Pinang dan dilahirkan di Tapah, Perak ini.
“Saya tidak menggunakan banyak produk kecantikan tetapi lebih gemar mengamalkan petua tradisional yang diturunkan oleh ibu saya, Roshiba Hashim, 42, sejak saya berusia 12 tahun.
“Mak saya berketurunan Jawa dan kami banyak mengamalkan petua tradisional seperti ulam-ulaman dan jamu manakala arwah opah saya seorang bidan.
“Saya sentiasa berpegang kepada nasihat mak yang sangat menitikberatkan tentang kecantikan dalaman wanita. Kalau boleh, dia mahu anak-anaknya mewarisi amalan ini kepada cucu dan cicitnya.
“Dia juga selalu memesan kepada saya agar mencari ilmu sehingga menutup mata. Katanya, kalau orang lain tidak tahu tentang ilmu itu, siapa yang akan amalkan nanti?” ujar pelakon filem Rasukan Ablasa dan Madu 4 ini. Ketika datang ke sesi fotografi baru-baru ini, Almy sempat membawa beberapa ramuan yang digunakan dalam kecantikan seperti kunyit, beras, limau kasturi, pegaga, serai wangi, daun bunga raya dan daun pandan.
Menurutnya, dia lebih rela menelan sayuran yang pahit dan mengamalkan petua tradisional berbanding melakukan suntikan untuk kelihatan cantik kerana dia amat takut dengan jarum.
Digelar ‘nenek’
Disebabkan dia suka mengamalkan petua tradisi lama ini, ada segelintir rakannya menggelarkan Almy sebagai nenek.
Dia yang sudah lali dengan gelaran itu hanya tersenyum dan tidak pernah patah semangat untuk terus mengamalkan petua-petua lama.
“Apabila saya balik ke kampung, mesti mak akan bekalkan pelbagai jenis tumbuhan tradisional untuk saya bawa ke Kuala Lumpur,” ujar Almy.
Menurut dia lagi pelbagai jenis ulam seperti, ulam raja, daun mengkudu, pucuk betik, jantung pisang dan gajus bagus untuk menyihatkan badan. Lebih-lebih lagi apabila dicicah dengan sambal belacan.
Tambahnya, kalau menyediakan sambal belacan, masukkan sekali kulit limau kasturi kerana ia bagus untuk hilangkan bau badan. Bagaimanapun, Almy tidak makan petai dan jering walaupun dia tahu khasiatnya untuk mengelak penyakit darah tinggi dan kencing manis.
“Saya juga menggunakan kunyit dan beras yang dikisar bersama untuk membuat ‘scrub’ badan. Biasanya saya akan lakukan pada hari saya tiada penggambaran kerana badan saya akan menjadi kuning. Khasiatnya adalah melembutkan dan mencerahkan kulit.
“Serai wangi dan pandan pula direbus untuk mandi. Lebih segar lagi jika air rebusan itu di rendam bersama bunga-bungaan. Saya akan bangun seawal pukul 6 pagi untuk merebus bahan-bahan itu.
“Selain itu, ibu kunyit bagus untuk melancarkan aliran darah haid. Jadi, saya akan makan semasa datang haid. Untuk lebih sedap, tumbuk ibu kunyit dengan gula batu dan tapis dengan air suam. Kemudian minum bersama madu.
“Daun bunga raya digunakan pada rambut. Kita juga boleh menggunakan santan pada rambut untuk melembut dan menyegarkan kepala. Limau purut juga mampu menghilangkan kelemumur. Caranya dengan menggosok limau purut pada kulit kepala dan perapkan dengan kain selama beberapa minit sebelum dibilas dengan air,” katanya.
Tambah Almy lagi untuk memutih dan membersihkan gigi, dia akan menggunakan arang India dengan mencalitkan arang itu pada kain dan gosok pada gigi.
Untuk menegangkan kulit muka pula, dia menggunakan buah tomato dan putih telur untuk disapu pada muka. Timun pula dipotong nipis dan diletakkan pada mata untuk menghilangkan kesan lingkaran hitam.
“Sementara kaki pula direndam dengan air panas suam bersama-sama garam dan perahan limau purut selama setengah jam untuk melegakan kesakitan pada kaki. Ikutkan semua ramuan itu kadangkala digunakan di spa. Jadi, kita tak perlu buang duit untuk ke spa kalau boleh lakukan di rumah,” ceritanya yang baru selesai penggambaran program Ketuk Ketuk Ramadan dengan Sheila Rusly.
Tukang urut
Tambahnya lagi, setiap tiga bulan dia akan memanggil tukang urut tradisional wanita untuk melakukan refleksologi pada seluruh badannya.
Tidak cukup dengan amalan tersebut, dia turut mengamalkan Jamu Mak Dara untuk meningkatkan tenaga. Katanya, jika mengambil jamu, dia perlu pandai imbangkan badan dengan air masak kerana bimbang badannya menjadi panas.
Kata Almy, petua tersebut tidak diamalkan serentak dan dilakukan ketika dia mempunyai masa terluang. Namun begitu, sejak akhir-akhir ini dia sukar untuk seimbangkan rutin ini kerana terlalu sibuk dengan penggambaran.
Biarpun mengamalkan petua tradisional, Almy masih menggunakan produk kosmetik dan penjagaan diri. Tetapi dia tidak mengamalkan suplemen.
Selain itu, dia mengelak daripada terlalu terdedah dengan penghawa dingin. Ini kerana, badan akan menjadi lemah akibat kekurangan air dalam badan. Jadi, Almy sangat mementingkan untuk meminum banyak air. Dia juga mengelak daripada minuman berais dan berkarbonat.
No comments:
Post a Comment