Sunday, October 2, 2011

Nabil, Zira ke Tanah Suci selepas nikah (21 GAMBAR)





JUMAAT lalu, bermulalah lembaran baru dalam hidup pelawak terkenal, Ahmad Nabil Ahmad apabila sah bergelar suami orang. Nabil menamatkan zaman bujangnya dengan mengahwini pilihan hati yang juga bekas pramugari AirAsia, Nazirah Ayub.


Riak wajah syukur dan gembira jelas terserlah di wajah Nabil, 28, sebaik selamat diijabkabulkan dengan Nazirah atau Zira, 23, yang dikenali sejak enam tahun lalu tepat jam 5.15 petang di Masjid Sultan Mizan, Putrajaya dengan dua kali lafaz. 




Ditemui pada majlis pernikahannya, Nabil yang tak henti mengukir senyum berkata, dia memang sudah bersedia untuk berumah tangga dan bersyukur ditemukan jodoh dengan Zira. Ujarnya, biarpun kenal Zira sudah lama, tetapi tiada cinta ketika itu.

“Saya kenal Zira kerana abang ipar dia adalah kawan baik saya. Bagaimanapun, dulu dia tak pernah pun sukakan saya hinggalah kami mula berkawan rapat sejak awal tahun lalu. Zira, seorang yang ramah dan saya selesa dengannya.



“Selepas pernikahan ini, saya tidak menghalang Zira untuk bekerja, tetapi sekarang biarlah dia menjadi suri rumah tangga sepenuh masa dulu. Kami mahu lebih mengenali antara satu sama lain dalam tempoh setahun menjalani hidup sebagai suami isteri.


“Bagi saya, setahun pertama hidup bersama ini mungkin kami berdua saja dulu. Selepas itu (tahun kedua), barulah memikirkan soal anak dan berkeluarga. Saya dan Zira menginginkan tiga cahaya mata saja,” katanya mengakui sukakan sardin goreng masakan Zira.

Menyentuh pula soal bulan madu, Nabil berkata dia dan isteri tersayang merancang mengerjakan umrah ke Tanah Suci pada hujung tahun ini. Katanya, jadual seni yang padat dan sibuk menyebabkan hasrat murni itu harus ditangguhkan dulu.

Kata Nabil, selepas pernikahannya dia akan sibuk dengan aktiviti seni. Jadi, dia perlu menyelesaikan segala urusan kerja sebelum pergi berbulan madu.

Nabil berkata, mereka memilih Makkah kerana sudah lama menyimpan keinginan itu.

Sementara itu, Zira berkata seperti suaminya, dia juga sudah bersedia bergelar isteri dan menerima Nabil sepenuh hati.

Katanya, dia terpikat dengan Nabil kerana sikap yang kelakar, mengambil berat, penyayang, manja dan romantik.

“Saya sukakan dia dan sudah berfikir masak-masak dengan keputusan untuk hidup bersamanya. Mengenai pelbagai kontroversi yang berlaku dalam hidup Nabil dulu, saya tidak pernah ambil tahu kerana ketika itu kami masih belum bercinta lagi.

“Perkara itu pun sudah berlalu dan kini saya sudah sah menjadi isteri Nabil. Saya berdoa rumah tangga kami akan berkekalan sehingga akhir hayat,” katanya mengakui sudah cukup memahami sikap Nabil yang suka buat kelakar setiap masa.

Ujarnya, walaupun seorang yang suka berlawak, tetapi Nabil juga tegas orangnya dalam situasi tertentu.

Kata Zira yang memiliki minat sama dengan Nabil iaitu menunggang motosikal berkuasa tinggi, suaminya itu bijak bawa diri dalam apa saja situasi. Pada majlis pernikahan itu, Zira menerima wang hantaran berjumlah RM15,000, mas kahwin sebanyak RM300, sebentuk cincin berlian beserta tujuh dulang hantaran. Manakala, Nabil pula menerima sembilan dulang hantaran daripada isterinya.

Hadir sama di majlis itu, bapa Zira iaitu Ayub Hassan, 60, selaku wali kepada anaknya serta kedua-dua ibu bapa Nabil, Ahmad Ismail, 60, dan ibunya, Rohizah Abdul Latif, 60. Majlis resepsi pula diadakan di Digital Park i-City, Shah Alam, semalam.

Bagi ibu bapa Nabil, mereka menerima pilihan anak tersayang sepenuh hati dan restu mengharapkan rumah tangga dibina itu berkekalan hingga ke akhir hayat. Kata mereka, siapa saja pilihan Nabil, ia adalah pilihan tepat yang dibuat oleh anaknya.






















 




No comments:

Post a Comment