Saturday, October 1, 2011

Datuk Chef Wan Pinang Ana Dahlia 5 Oktober ini

DATUK Mohd. Redzuawan Ismail atau Chef Wan bakal ke Taiping, Perak untuk meminang pelakon Ana Dahlia bagi pihak anak lelakinya, Mohd. Nadzri pada 5 Oktober ini.


Rombongan seramai 15 orang itu turut melibatkan bekas isterinya, Norhayati Ayob yang mahu berkongsi momen istimewa anak lelaki tunggal mereka.



“Ya, memang saya akan ke Taiping tak lama lagi. Nak segera tutup kontroversi mengatakan saya tak restu hubungan mereka,” cerita awal pakar bidang masakan ini menyingkap perihal melibatkan namanya itu.


Mengulas lanjut tentang perkara tersebut, Chef Wan mengakui bahawa dia tidak senang apabila namanya dikaitkan menjadi punca penghalang hubungan anaknya yang dipanggil Riz.


Menurutnya, dia langsung tidak kisah status wanita pilihan anaknya, jauh sekali menghalang pernikahan mereka seperti diperkatakan orang.



“Tak kisahlah status apa pun, saya pun duda. Saya tahu apa perasaan orang yang memegang status sebegini.


“Sebab itu, masyarakat tak boleh pandang rendah pada status seseorang. Kita sebagai ibu bapa tak boleh mengharamkan benda yang halal. Andai kata anak kita hendak berkahwin dengan lelaki atau perempuan yang pernah mengalami kegagalan rumah tangga sebelum ini.


“Demi kesejahteraan dan kebaikan darah daging sendiri, saya memberi restu hubungan mereka. Paling penting adalah ketulusan hati Ana dan bagaimana dia boleh menjaga Riz selepas berkahwin nanti,” jelasnya tanpa berselindung.


Mengajukan persoalan sama ada Chef Wan pernah bertemu empat mata dengan bakal menantunya itu, lelaki ini mengangguk laju.


Menurut pemerhatiannya, Ana seperti wanita lain tidak ada cacat cela. Selain kaya dengan budi bahasa, sopan dan menghormatinya sepanjang pertemuan lalu, Ana juga tidak merahsiakan statusnya.


“Kali pertama saya jumpa dia, wow... saya cakap macam anak dara. Dia nampak muda walaupun umur dia 28 tahun. Sesuai sangat dengan Riz yang berusia 29 tahun itu. Sebagai ayah, saya sangat liberal dalam bab jodoh.


“Saya tak suka merancang masa depan anak. Biarlah mereka yang tentukan sendiri. Bimbang kalau kita dipersalahkan bila ada sesuatu buruk terjadi dalam hubungan mereka di kemudian hari,” tegasnya.


Status heroin filem Mantra ini kerap
dipersoalkan setelah kisah cintanya
dengan Chef Riz diketahui umum.
Ditanya lanjut tentang perkahwinan Riz, Chef Wan merancang untuk melaksanakan perkahwinan anaknya itu di Sungai Koyan, Pahang yang dijangka pada hujung tahun ini.


Bertemakan semulajadi menyuntik elemen segar buat orang bandar yang berkunjung ke desa. Terutama buat penghuni kota yang tidak pernah menjengah ke tempat kelahirannya itu.


Bagaimanapun, perkara tersebut dalam peringkat awal rancangan. Tidak ada yang boleh diulas secara terperinci kerana semuanya bergantung pada perbincangan sewaktu meminang pemilik nama Diyana Mastura Jaafar itu nanti.


Menyentuh tentang kehidupan hariannya, pemegang Ijazah Doktor Kehormat dari Universiti Thames Valley, London ini cukup teruja saat membangkitkan persoalan berkenaan.


Dedahnya, dia kini mengalami fasa ketenangan biarpun sibuk dengan program masakan di luar negara. Itu termasuk menjayakan rancangan masakan untuk American Food Network (AFN) pada awal tahun depan.


Bagaimanapun, kepadatan waktu bukan penghalang untuk mengabaikan keperluan peribadi terutama dalam membahagiakan orang sekelilingnya.


“Semakin banyak kita bersyukur, semakin banyak rezeki Tuhan akan dilimpahkan kepada kita. Justeru, saya memilih untuk berkongsi apa yang saya miliki ini dengan individu terdekat.


“Kaedah ini umpama terapi apabila dapat menyuntik kebahagiaan. Rasa hidup sempurna bila dapat ucapan terima kasih selepas menerima pemberian daripada saya,” katanya bersungguh-sungguh.


Bagaimanapun, Chef Wan menafikan bahawa apa yang dilakukan pada hari ini bertujuan untuk menunjukkan-nunjuk. Tegasnya, dia hanya mahu beramal ibadat sesama insan.


Apa yang diharapkan juga semoga apa juga yang dilaksanakan pada hari bahagia anak bujangnya itu, mendapat keberkatan daripada Maha Pencipta.

No comments:

Post a Comment