Sekali pandang, wajah pelakon ‘Kisah Kaisara’, Faralyna Idris ini mirip dengan pelakon Ana Dahlia. Kakileaks sendiri tersilap orang ketika menegur gadis berusia 20 tahun ini di Majlis Tayangan Media Filem Klip 3GP baru-baru ini. Tidak mustahillah pelakon ini terkejut dengan soalan pertama yang Kakileaks ajukan tentang bagaimana kehidupannya selepas menjadi tunangan orang.
Terbaru, gadis kelahiran Perak ini bakal muncul dengan filem terbitan Grand Brilliance berjudul, Klip 3GP. Memegang watak sebagai Sandra, Klip 3GP merupakan filem pertama lakonan Faralyna. Pada majlis tayangan media tersebut, Faralyna berkongsi mengenai cabarannya membawa watak sebagai mangsa rogol.
“Saya berdebar kerana ini merupakan filem pertama saya. Dalam filem ini, saya menjadi mangsa rogol kepada kawan-kawan abang saya sendiri. Saya dirogol oleh tiga lelaki manakala seorang lagi mengambil video saya dirogol. Abang saya pula memukul kekasih saya, lakonan Sabhi Saddi,” ujar Faralyna menceritakan tentang pengalamannya dirogol.
“Ketika mula-mula ditawarkan membawa watak ini, saya fikir banyak kali. Namun, saya jenis yang suka mencuba sesuatu yang baru dan mengekplorasi watak. Jadi saya sahut cabaran ini. Kalau diikutkan skrip dan pengarah, watak ini lebih ekstrem di mana bila masuk rumah saja perogol dah tangkap saya. Baju dan skirt saya juga dikoyak dan bila saya mati, saya hanya memakai baju dalam saja.
“Masa buat babak itu, saya rasa malu malah sebelum itu saya menangis dulu. Ini kerana, saya masih ada batas dan pendirian. Saya juga masih ada keluarga dan perlu fikir dulu apa yang saya nak buat. Namun, saya tidak mengikut semua yang diminta dalam skrip dan hanya buat mengikut kemampuan saya saja,” jelasnya sambil mengakui pengarah, Aidilfitri Mohd Yunos banyak membantunya.
“Saya tidak ada masalah bekerjasama dengan Aidil kerana kami pernah bekerjasama dalam drama BioNik. Dia banyak membantu saya dan banyak bagi mood kepada saya. Dia juga memahami apabila saya minta supaya lebih banyak reaksi dari aksi dirogol.”
Apabila ditanya kepada Aidil mengenai pendirian Faralyna yang tidak mahu membawa watak mangsa rogol dengan lebih ekstrem, beliau menjawab, “Saya tahu perasaan dia. Dia takut apa yang dia lakukan tak sampai dan terkena balik pada dia. Bagi saya, dia bukan pelakon yang cerewet.
“Saya tahu dia gusar dan berdebar untuk berlakon watak mangsa rogol. Ketika aksi selak kain, dia tanya juga kenapa nak selak-selak, saya cakap supaya nampak lebih ‘real’. Saya juga banyak membantu dan mengajar dia agar lebih selesa supaya dia boleh membawa wataknya dengan lebih berkesan.”
No comments:
Post a Comment