Friday, October 28, 2011

Baik pulih padang sebab tiket naik

KUALA LUMPUR – Bukan sengaja mahu mencipta alasan, sebaliknya kos membaiki permukaan padang menjadi punca utama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terpaksa meletakkan harga tiket kepada RM 50 bagi semua tempat duduk untuk aksi final Piala Malaysia esok.




Menurut sumber FAM yang enggan didedahkan, jika mutu padang Stadium Shah dalam keadaan baik, harga tiket untuk menyaksikan pertembungan Terengganu dan Negeri Sembilan, mungkin dapat direndahkan.

“Kerosakan padang di Stadium Shah Alam terlalu serius dan 20 peratus daripada hasil penjualan tiket akan digunakan untuk menampung kos membaiki padang.
“Atas faktor tersebut, selepas berbincang dengan kedua-dua persatuan negeri, FAM berpendapat RM50 adalah jumlah wajar bagi membayar kos kerosakan padang yang saya sifatkan agak tinggi.


“Ini ditambah lebihan keuntungan penjualan tiket itu akan dibahagikan kepada Terengganu dan Negeri Sembilan yang bermain di perlawanan akhir.
“Orang ramai perlu faham, walaupun penyenggaraan Stadium Shah Alam bukan di bawah tanggungjawab FAM, tetapi kerana telah menyewa untuk perlawanan akhir Piala Malaysia, FAM harus membayar kos kerosakan padang, bukannya Majlis Banda Raya Shah Alam (MBSA), ” kata sumber tersebut ketika di hubungi Utusan Malaysia, semalam.

Sumber FAM itu juga menjelaskan, terdapat sedikit tambahan dalam kos keselamatan untuk final di Stadium Shah Alam
“Pada tahun ini juga terdapat peningkatan dari segi penggunaan tenaga keselamatan iaitu daripada 1,600 pada tahun lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil kepada 2,000 untuk final tahun ini.

“Jadi secara tidak langsung FAM terpaksa membayar kos keselamatan yang lebih berbanding sebelum ini, ” ujarnya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, tiada cadangan untuk menurunkan harga tiket RM50 pada perlawanan akhir Piala Malaysia.
Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Ahmad Shah turut merayu supaya harga tiket dikurangkan.

Cuma isu tiket semahal RM50 sedikit reda di kalangan penyokong selepas Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) memberikan subsidi, sementara Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) hanya menjual sebanyak RM 30 kepada peminat setia Hobin Jang Hobin.
Baki sebanyak 5,000 tiket lagi akan dijual di Stadium Shah Alam esok.

No comments:

Post a Comment