Monday, October 17, 2011

Aziz Bari Diingatkan Jangan Ghairah Main Politik Hingga Lupa Asal Usul

KUALA LUMPUR, 17 Okt. – Tindakan pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Abdul Aziz Bari mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Shafaruddin Idris Shah baru-baru ini sama seperti ‘kacang lupakan kulit’ lantaran lupa pada pihak yang membantunya sehingga dapat menamatkan pengajian ke peringkat tinggi dan bergelar seorang ahli akademik.

Ketua Pusat Pembangunan Anak Bangsa di Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) Prof. Datuk Dr. Abdul Halim Sidek melihat tindakan sedemikian adalah antara contoh bangsa Melayu yang tidak tahu bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang telah banyak menaikkan namanya sehinggakan sanggup menyelar dan mengeluarkan kenyataan yang menyanggah titah Sultan sendiri.


“Dalam hal terbabit, Aziz Bari memberikan hujah-hujahnya berlandaskan kedudukannya sebagai seorang ahli akademik yang dikatakan pakar berkaitan perlembagaan sedangkan jika dihalusi dan disorot kembali banyak kenyataan-kenyataannya termasuk yang sebelum ini juga adalah berbaur politik dan tidak bersifat neutral,” katanya kepada UMNO-Online.


Jelasnya, latar belakang Aziz Bari yang memperoleh Diploma Pentadbiran Awam dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum melanjutkan pengajian di UIAM dan kemudiannya berpeluang menjadi tenaga pengajar muda yang menyambung pengajian di luar negara dengan sepenuhnya atas biasiswa daripada kerajaan yang dinaungi oleh Barisan Nasional (BN).
“Hari ini kita melihat seorang yang berbangsa Melayu, mendapat pendidikan tinggi dan mempunyai profesionalisme yang disegani telah tergamak mencabar institusi diraja sedangkan tentunya kerajaan BN menghantar para pelajarnya keluar negara hingga mendapat ijazah kedoktoran untuk lebih memahami aspek Perlembagaan dengan membuat modifikasi berdasarkan kepercayaan, agama, adat dan budaya kita sendiri.
“Apa yang benar itu tetap benar biarpun Aziz Bari dikatakan pakar dalam Perlembagaan dan mendapat pendidikan dari negara yang menjadi contoh sistem Wesminster iaitu England dengan Baginda Queen sebagai Raja Berperlembagaan tetapi Perlembagaan negara kita jelas menetapkan bahawa Islam adalah agama rasmi dengan Yang diPertuan Agung bertanggungjawab sepenuhnya termasuklah adat dan istiadat orang Melayu,” tegasnya.
Abdul Halim yang juga pensyarah di Fakulti Undang-undang UiTM menerangkan bahawa Perlembagaan Malaysia tidak meniru secara total apa yang termaktub atau dipraktikkan dalam sistem parlimen kerajaan demokratik seperti yang dimodel kerajaan British (Parlimen United Kingdom) sebaliknya ia disempurnakan dengan mengikut acuan sendiri.
“Kita tidak ikut samberono sistem Raja Berperlembagaan kerana dalam Perlembagaan Malaysia ada termaktub Perkara 3, yang menetapkan agama Islam adalah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan, selain setiap negeri Raja adalah ketua agama Islam.
“Di London Baginda Queen tidak ada kuasa pemutus sebagaimana dalam Perlembagaan kita sebaliknya Baginda Queen hanya bercakap dalam upacara-upacara tertentu sahaja sedangkan di negara kita Baginda Sultan bebas untuk bercakap dalam hal-ehwal yang membabitkan agama Islam dan adat istiadat orang Melayu.”
Katanya, dalam isu membabitkan pemeriksaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos lalu, Baginda Sultan Selangor telah melahirkan rasa amat tersinggung dan kebimbangan yang amat sangat kerana ada usaha-usaha untuk memurtadkan rakyatnya yang beragama Islam.
“Baginda murka apabila ada pihak yang mahu memurtadkan Islam lantas Baginda mengeluarkan titah agar jangan ada pihak yang cuba mahu berbuat demikian, itu peringatan; tetapi Aziz Bari melihat itu sebagai bukan sesuatu yang lazim sedangkan Raja kita mempunyai kuasa penuh atas apa yang diperkatakan dengan dipandu oleh penasihat-penasihat Baginda yang sememangnya arif berkaitan hal terbabit sebagaimana mufti, Jabatan Agama Islam dan lain-lain lagi berlandaskan kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri.
“Dalam hal yang berlaku ini, Aziz Bari cuba menafikan hak Baginda bahawa kononnya telah melakukan kesalahan dan beliau sendiri mempertikaikan titah Tuanku Sultan Selangor sedangkan apa yang tergambar beliau mahu menunjukkan Tuanku telah didorong pihak lain seperti BN/UMNO untuk mengeluarkan titah walhal ia tidak sedemikian,” tegasnya.
Ujar beliau lagi, Baginda Sultan Selangor mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk membuat siasatan bagi mendapatkan kebenaran dan untuk menjernihkan keadaan lantas hasil siasatan mendapati bahawa tiada tindakan diambil.
“Baginda adalah Raja kepada semua rakyat Selangor tanpa melihat kepada bangsa, agama atau perbezaan kaum dan dalam hal tersebut, Baginda melaksanakan tanggungjawabnya bagi memelihara kesucian agama Islam tanpa berlaku sebarang penganiayaan kepada bangsa lain. Tindakan dibuat ikut prosedur dan didapati bahawa tiada sebarang tindakan susulan yang perlu.
“Namun persoalannya kenapa Aziz Bari mempertikaikan titah Baginda Sultan yang tentunya tiada lain selain adanya ‘ulterior motif’ dengan cuba bangkitkan isu lain sebagaimana sikapnya yang menggunakan dunia profesionalisme akademik tetapi bercakap mengikut arus pembangkang,” tegasnya lagi yang melihat Aziz Bari cenderung menjadi perunding parti Pas.
Tambahnya, sesuatu yang sangat mengecewakan apabila seorang individu yang menggunakan segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan BN telah bersikap ibarat ‘gunting dalam lipatan’ dan ‘api dalam sekam’ selain sanggup menjadi kuda tunggangan parti pembangkang dengan berpura-pura bersuara dari sudut akademik.
“Apa yang benar akan tetap benar biarpun cuba dipergunakan dari sudut politik sebagaimana sikap orang yang bermuka-muka atau barangkali juga ada perkara yang beliau tidak puas hati kepada kerajaan lantas beralih angin dan bertindak melawan arus sehinggakan Perlembagaan negara mahu dipolitikkan,” katanya lagi.
Tegasnya, sewajarnya apabila semua perkara disalut dengan politik maka lebih elok sekiranya Aziz Bari meninggalkan dunia akademik dan bergelumang sepenuhnya dengan politik. - MediaUMNO

No comments:

Post a Comment