Sunday, October 2, 2011

Artis remaja bantu Kempen Kami Prihatin



GAYA Najwa Latif sewaktu menyanyikan lagu

Cinta Muka Buku.

KEMPEN Kami Prihatin yang bertujuan membendung gejala pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak banyak memfokuskan kepada golongan remaja dalam usaha membentuk generasi yang lebih penyanyang.



Bagi menjayakan kempen itu, sasaran bukan setakat buat golongan muda, malah para penyanyi remaja juga berganding bahu pada Konsert Kempen Kami Prihatin yang diadakan di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menerusi konsert anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu ramai artis remaja seperti Najwa Latif, Ana Raffali, Bienda, Adam (AF2) dan Sahri (AF1) turut serta menjayakan kempen murni tersebut.

"Sambil berhibur kita jangan leka dengan gejala sosial seperti ini (penderaan dan buang bayi)," ujar Ana Raffali selepas menyanyikan lagu Tolong Ingatkan Aku pada konsert yang ditonton hampir 500 pelajar UM pada malam itu.


Selain itu, Ana yang turut menyanyikan lagu Dan Ku Biarkan Kau Terlepas dan Sehabis Baiksambil bermain gitar secara akustik itu mendapat tepukan gemuruh para penonton yang menunggu-nunggu kemunculannya.

Paling mencuri tumpuan apabila penyanyi remaja Najwa Latif, 16, tampil di atas pentas selepas lagu berjudul Cinta Muka Buku nyanyiannya yang disiarkan menerusi Youtube telah ditonton lebih dua juta penonton baru-baru ini.

"Saya rasa gementar pada malam ini bukan sahaja kerana membantu menjayakan kempen seperti ini yang cukup berat tanggungjawab sosialnya. Malah, saya juga gemuruh untuk menyanyi buat pertama kalinya di UM ini," katanya.

Konsert anjuran Institut Pengupayaan Wanita Bagi Anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NIEW) itu turut menyaksikan kebanyakan penonton menyanyi bersama-sama Najwa.

Pada konsert yang turut mendapat kerjasama akhbar Utusan Malaysia, Persatuan Karyawan Malaysia dan Astro Awani itu Najwa turut menyanyikan dua lagu berjudul One In A Million danCarta Hati yang sememangnya popular di kalangan peminatnya.

Persembahan sempena NIEW Ladies Carnival 2011 itu turut dimeriahkan apabila hampir 20 pelajar Universiti Lim Kok Wing bersama Sahri (AF1) menyanyikan lagu tema acara itu Woman of Tomorrow secara beramai-ramai.

Turut memeriahkan lagi acara ialah persembahan teater berjudul Saleh Salehah oleh lima pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan.

Ia sedikit sebanyak membawa mesej dalam usaha menjayakan kempen itu.

No comments:

Post a Comment