Wednesday, September 14, 2011

Suami pengkritik utama Zizie

SIBUK sungguh Zizie dan suaminya melayan tetamu yang hadir ke rumah terbuka mereka di Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini.

BARANGKALI akan ada yang beranggapan selepas aktres jelita berkulit putih gebu ini mendirikan rumah tangga, dunianya sudah jauh berubah.


Kali terakhir lakonannya menghiasi televisyen adalah melalui drama rantaian Suraya yang pernah disiarkan sekitar dua tahun lalu iaitu sebelum dia bergelar seorang isteri.

Selepas itu, dia terus menyepikan diri dan wajahnya kini begitu jarang dapat ditonton di layar kaca sehingga ada yang menyangka Zizie Ezette sudah mengucapkan selamat tinggal kepada dunia lakonan.

"Selagi saya tidak mengeluarkan kenyataan rasmi dari mulut saya sendiri, selagi itulah saya akan terus bergelar pelakon.


"Saya cukup sedar ramai yang bertanyakan hal itu (bersara) kepada saya. Mana mungkin saya boleh meninggalkan dunia lakonan begitu sahaja selepas hampir 20 tahun bergelumang dalam industri.

"Dengan duit lakonan jugalah saya mampu berdiri teguh sehingga ke hari ini serta dapat membantu ibu dan adik-beradik yang lain menjalani kehidupan yang selesa.

"Apa yang boleh saya katakan, buat masa ini saya selesa dengan kehidupan saya sekarang sebagai seorang isteri dan sentiasa menemani suami saya," katanya penuh bersungguh.

Zizie atau nama sebenarnya, Zizie Izette Abd. Samad ditemui pada majlis rumah terbukanya bersama suami tersayang iaitu Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin yang diadakan di kediaman mereka di Taman Sering Ukay, Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini.

Aktres yang mula menempa nama menerusi filem Kekasih Awal dan Akhir pada tahun 1993 itu juga tanpa selindung memberitahu rindunya terhadap dunia lakonan terus membara setiap masa.

Sehinggakan dia sendiri pernah menghabiskan masa yang lama di dalam bilik air dan berlakon di hadapan cermin dengan pelbagai watak yang ingin dilakonkannya.

Tetapi, memandangkan statusnya kini sudah berubah, kata aktres berusia 32 tahun itu, dia perlu mengutamakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri terlebih dahulu.

Begitu juga dengan watak-watak yang ingin dilakonkannya perlulah mendapat keizinan suaminya terlebih dahulu.

"Suami saya tidak membenarkan saya melakonkan watak-watak gedik dan antagonis walaupun saya cuba menyakinkan dirinya bahawa semua itu adalah lakonan semata-mata.

"Bukannya tidak ada tawaran yang saya terima selepas saya bergelar isteri. Cuma, masa yang tidak mengizinkan saya untuk berbuat demikian.

"Alhamdulillah, apa yang boleh saya katakan sejak mendirikan rumah tangga, watak-watak yang mendatangi saya tidak kurang menariknya. Salah satunya adalah drama bersiri Anessa. Tetapi, nampaknya bukan rezeki saya untuk membintangi drama itu," kata anak jati Batu Pahat, Johor itu yang kelihatan semakin elegan dan langsing sejak bergelar isteri.

Dalam masa yang sama, Zizie turut memberitahu suami kesayangannya itu merupakan pengkritik utama khususnya dalam aspek lakonan.

Kata Zizie, kalau ada yang tidak disukainya atau kurang berkenan di hatinya, secara spontan Bung Mokhtar akan memberikan pendapatnya dalam loghat Sabah.

"Disebabkan itulah saya perlu menjadi lebih memilih sekarang dalam memilih watak yang benar-benar sesuai dengan status saya. Tidak mahu nanti suami saya terasa hati pula," ujar pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2003 untuk drama Aduhai Esah ini sambil ketawa kecil.

Semakin selesa

Tarikh 16 Disember ini genaplah Zizie dan Bung Mokhtar bergelar suami isteri. Biarpun dihambat kontroversi di awal perkahwinan mereka, ternyata ia merupakan kekuatan untuk pasangan ini terus melayarkan bahtera perkahwinan mereka.

Zizie yang ditemui pada petang itu tidak putus-putus melafazkan rasa syukur kerana telah dipertemukan dengan seorang lelaki cukup baik, bertanggungjawab dan budiman.

Di awal perkahwinan mereka juga, Zizie pernah memberitahu dia sedikit kekok untuk mengadaptasi dirinya dengan dunia seorang ahli parlimen yang memerlukan dirinya turun padang bertemu rakyat.

Namun, selepas kerap mengikuti suaminya berkempen di Sabah sehingga berbulan-bulan lamanya, Zizie mengakui dia sudah mula dapat membiasakan diri dengan pelbagai situasi.

Malah, Zizie berasa terharu apabila dia sendiri tidak menyangka ada penduduk di kawasan pendalaman khususnya masih lagi mengingati dirinya sebagai seorang pelakon.

"Saya sendiri tidak kisah untuk berpanas dan berhujan dengan suami saya apabila bertemu dengan rakyat dan penduduk di Sabah.

"Apa yang penting, apabila saya turun padang bersama-sama suami, kami tidak meminta untuk diberikan layanan eksklusif mahupun VIP. Biarlah kami sama-sama meredah segalanya dengan mereka.

"Bukan mahu mendabik dada atau sengaja mahu membangga diri, tetapi saya ini boleh menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan dan dengan sesiapa sekali pun.

"Atas alasan itu, apabila saya diundang untuk mengikut suami, saya tidak akan pernah menolaknya," ujar Zizie yang menghabiskan kebanyakan masanya di Sabah untuk setia bersama suami di sisinya.

Dalam pertemuan itu juga, tidak sah seandainya soal cahaya mata tidak diajukan kepada pelakon cantik ini.

Bagai sudah menyangka soalan itu akan ditanya, dengan penuh hemah, Zizie menjelaskan dia dan suaminya masih belum mempunyai rezeki untuk menimang anak.

Dengan penuh jujur dia memberitahu, baik dia mahupun Bung Mokhtar, masing-masing memiliki tahap kesihatan yang baik untuk memiliki anak.

"Bagi saya, semuanya telah diatur dan ditentukan oleh Allah. Mungkin Dia mahu saya dan suami menghabiskan masa berdua sekerap yang mungkin sebelum Dia mengurniakan cahaya mata kepada kami.

"Kami memang mahukan anak dan Insya-Allah, kalau ada rezeki nanti, kami akan menerimanya dengan senang hati," kata pemilik trofi Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Sri Angkasa 1994 menerusi drama Alegori itu lagi.

No comments:

Post a Comment