Thursday, September 8, 2011

Review Filem Karipap - Karipap Cinta (VIDEO & GAMBAR)


Filem ini mengisahkan Ali yang bekerja di syarikat penerbitan majalah jatuh hati pada Sarah iaitu rakan sekerja teman serumahnya. Cuba untuk memikat Sarah, niat Ali sedikit terbantut apabila rakan serumahnya memberitahu Sarah merupakan pelajar terbaik lepasan Universiti Al-Azhar dan keluarganya juga bercadang untuk menjodohkan Sarah dengan seorang ustaz yang merupakan anak kenalan keluarganya dan mereka berdua saling kenal mengenali sejak kecil lagi.
Ali kemudiannya terpaksa menipu Sarah dan keluarganya dengan mengaku dirinya juga bekas graduan Al-Azhar gara - gara mahu menarik perhatian ayah Sarah demi cintanya pada Sarah. Ali juga sanggup berkorban dengan memecah masuk rumah dan pejabat bosnya sendiri dibantu oleh tiga orang rakan karibnya untuk merampas kembali dokumen yang diambil oleh bosnya dalam misi menjatuhkan maruah ayah Sarah. Namun, keadaan menjadi semakin tegang apabila tembelang Ali menipu Sarah akhirnya terbongkar. Hanya kuih karipap menjadi harapan terakhir Ali untuk kembali memenangi hati Sarah.


Pengarah :

Othman Hafsham

Genre :

Komedi Romantik

Pelakon :

Gambit Saifullah, Melia Aimellia, Shawal AF, Eman Manan, Elyas Iskandar,
P.Jagen, Shamira Azmil, Afizudin Fazil, Rosnah Johari, Patrick Teoh, Chef Wan.

Penilaian:
3 / 5

Ulasan Hans:

Aku bukan lah pembaca novel Karipap - Karipap Cinta yang laris di kalangan peminat novel tempatan dan aku tertarik untuk menonton filem ini pun disebabkan 2 perkara iaitu filem ini datangnya daripada Othman Hafsham dan juga atas cadangan Saudara Fadz yang menyarankan aku untuk pergi menonton. Jadi, aku mengulas berdasarkan pemerhatian peribadi dan apa yang aku rasa sepanjang aku menonton filem yang berdurasi agak lama ini iaitu sekitar 1 jam 50 minit.

 4 Sekawan

Aku merasakan filem ini banyak dipenuhi oleh babak - babak yang mungkin dicedok begitu asli daripada novel tanpa diolah untuk disesuaikan di dalam penceritaan filem. Bagi aku bukannya tidak boleh diambil 100% dan diterjemahkan di dalam visual namun gara - gara babak - babak tersebut kelihatan panjang dan ada kalanya meleret membuatkan aku agak kebosanan. Pada pandangan peribadi aku, kesilapan besar filem ini adalah ia terlalu cuba untuk menjadi 100% seperti novelnya sehinggakan pihak terbabit terlupa bahawa filem dan novel ada perbezaannya.

Antara Adegan Awal Filem Ini Yang Amat Mengejutkan Aku

Apa yang aku suka tentang filem ini ialah kebijaksanaan memanfaatkanpemandangan, papan tanda atau iklan tampalan yang terdapat di Kuala Lumpur untuk diletakkan di dalam beberapa babak yang bagi aku agak menarik dan menghiburkan. Aku pun tak pasti kenapa aku sukakan perkara ini tetapi realitinya ia berjaya menarik hati aku untuk melihat setiap perkara yang ditunjukkan itu walaupun ianya ringkas dan pendek.


Eman Manan Memang Pelakon Lelaki Terbaik


Berkenaan lakonan pula, aku rasa Eman Manan berjaya menghidupkan karakterDato' Razali Bunari dengan begitu menarik sekali. Sampai sekarang aku masih tersenyum apabila mengenangkan watak itu menyanyikan lagu Aku Tak Percaya Cinta dendangan Liyana Jasmay dengan begitu asyik sekali. Berkenaan watak Ali yang dilakonkan oleh Gambit pula bagi aku tidak lah terlalu bagus dan bukannya juga teruk. Apa yang aku boleh katakan Gambit berjaya menghidupkan 50% watak Ali itu dengan jayanya manakala 50% lagi tidak kerana bagi aku watak Ali itu yang dilakonkan Gambit terlalu moden. Namun aku lebih suka dengan watak Gambit berbanding dengan watak Sarah yang dilakonkan oleh Melia Aimellia.


Mana Kewarakan Ayah Sarah Yang Dikatakan?


Aku ingin bertanya kepada sesiapa yang membaca novel Karipap - Karipap Cinta,adakah watak Sarah di dalam filem ini sama dengan karakter di dalam novelnya? Aku sedikit hairan apabila mengenangkan seorang pelajar terbaik daripada Universiti Al-Azhar tetapi bertudung tidak cukup kain dankegedikan pergerakan badan dan vokal yang manja yang bagi aku tidak mencerminkan langsung seorang pelajar daripada universiti terbabit. Tetapi, jika watak di dalam filem sama dengan di dalam novel maka abaikan komen ini namun jika tidak seperti yang terdapat di dalam karya asal itu maka amatlahtersilap langkahnya Hafsham apabila watak Sarah itu dijadikan sebegitu rupa. Bagi aku sendiri, aku lebih suka jika watak Sarah itu diubah menjadi seorang yang tegas tetapi lembut dan tidak terlalu menunjuk - nunjuk seperti dia terlalu terhegeh - hegehkan si Ali tersebut. Maaflah jika kritikan aku ini agak tegas tetapi secara jujurnya aku memang tak mampu menerima watak Sarah di dalam filem Karipap - Karipap Cinta ini kerana bagi aku kemanisan watak itu sudah hilang apabila bermulanya adegan Sarah berborak dengan Ali di facebook yang sememangnya telah memusnahkan 100% keindahan watak gadis bernama Sara itu. Digambarkan juga pada awal filem ini bahawa Ayah Sarah merupakan seorang yang warak namun aku tidak nampak pula dimana waraknya watak tersebut.


Watak Aisyah Yang Aneh Bagi Aku


Watak Aisyah(aku tidak tahu nama pelakonnya) pula bagi aku sangatmenjengkelkan. Dari kemunculan pertamanya di dalam filem itu sehingga ke akhirnya aku langsung tidak terasa tertarik untuk mengetahui tentang siapakah Aisyah kerana aku merasakan lontaran dialog serta ekspresi wajahnya tidak kuat langsung. Aku merasakan tidak perlu diadakan dialog - dialog seperti "Aisyah Cinta Abang Ali" dan "Aisyah Nak Kahwin Dengan Abang Ali" kerana nadanya sangat mendatar. Awal - awal lagi aku sudah mampu mengagak yang watak itu mempunyai masalah jiwa dan adalah lebih bagus dan bijak jika watak itu dilakon dengan menggunakan kaedah psikologi berbanding dengan dialog - dialog sebegitu yang sangat aneh rasanya apabila dilontarkan oleh pelakon tersebut.


 Senarai Pelakon Utama Filem Karipap - Karipap Cinta

Seperti Saudara Fadz sendiri, aku juga tertarik dengan beberapa adegan yang dikatakannya iaitu tentang syarikat penerbitan yang menerbitkan majalah yangbertemakan hantu dan skandal artis atau tokoh politik terkenal kerana itu adalah bahan bacaan kesukaan masyarakat tempatan serta mengkritik drama dan filem Melayu yang selalu menjadikan KEBETULAN sebagai penyelamat untuk mengukuhkan jalan cerita. Ia agak menarik dan aku suka dengan dua adegan terbabit. Apa - apapun, filem Karipap - Karipap Cinta ini boleh jadi sangat menarik jika ia tidak terlalu mencuba untuk menjadi seperti novelnya dan adalah lebih bagus jika pelakon - pelakon yang dipilih mampu menghidupkan watak itu dengan sebaik mungkin. Sayang kerana durasi filem ini sudah bagus iaitu menghampiri 2 jam namun terlalu banyak perkara yang bagi aku kurang memuaskan yang dipertontonkan kepada penonton. Terserah pada anda semua untuk menilai dan ini adalah pandangan aku selepas menontonnya. Jadi, selamat menonton filem ini dan kemudian fikirkan kembali adakah anda bersetuju dengan apa yang aku katakan atau sebaliknya!



P/S : Tertarik Hati Menonton Trailer Filem 8 Jam! Nampak Menarik Melalui Aksi - Aksi Yang Ditonjolkan! (^_^)Y

No comments:

Post a Comment