Tuesday, September 13, 2011

Projek MRT Di 'Laluan Salah' Tanpa Pelan Induk, Kata Transit

KUALA LUMPUR 10 SEPT : Kumpulan pembela pengangkutan awam tempatan mempersoalkan iltizam menyalurkan RM50 bilion ke atas projek Transit Rapid Massa (MRT) Lembah Klang tanpa mahu menanti pelan induk pengangkutan yang hanya akan siap akhir bulan ini.


Persatuan Bagi Penambahbaikan Transit Massa (Transit) memberitahu The Malaysian Insider, keadaan itu mengikat tangan pihak berkuasa pengangkutan dalam projek itu berbanding menimbang pendekatan menyediakan alternatif seperti transit rapid bas (BRT).


“Kami letakkan carta memandangkan kami telah memutuskan bahawa kami mahu projek infrastruktur paling besar, sudah ada jajaran, ada maklum balas dan (sudah mula) beri kontrak tetapi tidak sesiapa pun tahu apa sebenarnya gambar besar pelan (projek ini),” kata jurucakap Transit, Rajiv Rishyakaran.

Rajiv yang mewakili kumpulan itu berkata, projek transit rel ringan (LRT) adalah contoh kesan mengadakan projek tanpa satu pelan induk.

“Kini, selepas lebih satu dekad, mereka mahu memperluaskan laluan dengan kos RM7 bilion,” kata beliau sambil menambah, dua laluan LRT yang dibina dengan kos RM5.5 bilion masih menyaksikan kadar penggunaan yang rendah di beberapa stesen.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memulakan kerja-kerja merangka pelan induk pengangkutan awam September lalu.

Meskipun ia memberi tempoh 12 bulan untuk memuktamadkan pelan induk pengangkutan awam, kerja-kerja penjajaran pertama laluan MRT sejauh 51 kilometer, dari Kajang ke Sungai Buloh, dibuka kepada maklum balas Mac lalu manakala kerja-kerja tender pula April lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD Mohd Nur Kamal memberitahu ketika pelancaran MRT Julai lalu bahawa tidak perlu menunggu pelan induk itu disediakan memandangkan projek mega ini diadakan sebagai satu loncatan kepada Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Rajiv menambah, ketiadaan pelan induk itu bermakna sukar untuk menentukan pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti Jabatan Kerja Raya, pihak berkuasa tempatan dan Lembaga Lebuh Raya.

Sebaliknya, beliau yang juga ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berkata, SPAD akan merancang dan akan memikirkan bahawa semuanya akan termasuk dalam pelaksanaan sistem itu.

Meskipun Rajiv tidak mahu mendedahkan butiran hasil perbincangan Transit dengan SPAD mengenai pelan induk itu awal tahun ini katanya, MPSJ tidak didampingi untuk membincangkan laluan-laluan bas.

“Jadi anda boleh putuskan arah tuju yang mereka sedang bergerak,” katanya.

Sebelum ini, Transit ada mengemukakan idea BRT sebagai alternatif untuk mengatasi masalah kesesakan di Lembah Klang atas alasan ia hanya melibatkan kos 50 kali lebih rendah berbanding dana yang diperlukan untuk MRT.

Bagaimanapun idea itu ditolak oleh laporan penilaian impak alam sekitar berkaitan MRT.

Projek MRT berhadapan dengan kritikan pelbagai pihak termasuk kontraktor Melayu yang menuntut agar kelayakan menyertai projek itu dilonggarkan bagi memastikan penyertaan Bumiputera.

Selain itu, SPAD juga berhadapan dengan isu pengambilan tanah di beberapa kawasan laluan termasuk di Jalan Sultan dan Bukit Bintang di ibu negara.-The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment