Monday, September 19, 2011

PAS beri jaminan tak akan tukar bendera

KUALA LUMPUR, 20 Sept: Menyokong kenyataan Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menegaskan bahawa yang ingin digantikan Pakatan Rakyat (PR) ialah kerajaan Barisan Nasional (BN) dan bukannya Jalur Gemilang.


Beliau menyifatkan, Jalur Gemilang tiada salah dan berdosa sebagai bendera Malaysia.

“Tak ada salah dan dosa bendera Malaysia. Yang Pakatan Rakyat nak tukar ialah BN bukannya bendera,” tegas beliau dalam satu kenyataanya melalui sms kepada Harakahdaily.

Salahuddin, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian juga menegaskan bahawa PAS tidak akan bersetuju dengan mana-mana cadangan untuk menukar bendera Malaysia.

“PAS bagi jaminan tak akan tukar bendera,” tegasnya lagi.

Adun DAP Kota Alam Shah, M Manoharan telah memohon maaf secara terbuka atas keterlanjurannya dalam Twitter beliau baru-baru ini, di mana beliau menyatakan akan bertindak menukar design bendera Malaysia sekiranya menang.

Namun begitu, serangan Umno terhadap beliau masih bertali arus.

Semalam Tuan Ibrahim turut menegaskan tiada keperluan untuk menukar bendera negara kerana bendera adalah lambang kedaulatan negara.

Disebabkan itu, katanya sebagai rakyat Malaysia, bendera negara perlu dipertahankan, tidak boleh diperlekehkan dan dipersendakan.

“Isu ini tidak perlu jadi polemik kerana ia tidak akan menjadi dasar Pakatan Rakyat, dan PAS secara tegas tidak akan sesekali menyokong cadangan sedemikian daripada sesiapa pun,” tegas beliau.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menyeru agar semua pimpinan Pakatan Rakyat bekerja keras bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional akan datang.

“Itulah isu yang harus difokuskan oleh semua pemimpin, anggota, penyokong Pakatan Rakyat dan rakyat yang inginkan pembaharuan dan jaminan masa depan yang lebih baik,” nasihat beliau.

No comments:

Post a Comment