Monday, September 26, 2011

PARIS: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiba di sini Isnin untuk menghadiri sesi ke-187 mesyuarat lembaga eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Sintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) yang bermula esok. 


Ketibaan Muhyiddin di Lapangan Terbang Antarabangsa Charles De Gaulle dengan diiringi isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, disambut Duta Besar Malaysia ke Perancis, Tan Sri Abdul Aziz Zainal, dan Wakil Tetap Malaysia ke UNESCO, Ali Abd Ghani.

Muhyiddin yang akan menjadi peserta pertama berucap pada mesyuarat itu, dijangka menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua negara anggota Unesco atas sokongan dan kerjasama mereka kepada Malaysia sebagai anggota lembaga eksekutif badan dunia itu.
Tempoh Malaysia menduduki kerusi lembaga eksekutif UNESCO bagi penggal empat tahun akan berakhir Oktober ini. Wakil baru Asia dalam lembaga eksekutif badan dunia itu, sama ada Indonesia atau Thailand, akan dipilih pada mesyuarat agung UNESCO dari 25 Oktober hingga 10 November depan. 


Hari ini, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, akan menghadiri majlis perpisahan di bangunan UNESCO di sini. 


Malaysia menganggotai UNESCO sejak Jun 1958 dan lembaga eksekutif badan dunia itu dianggotai 58 negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment