Thursday, September 29, 2011

Olivia Terkejut Dengan Produksi Malaysia

“Bagi saya, peluang bekerja dengan abang Idham dan Kamal (Adli) sangat menyeronokkan. Mereka mudah dibawa berbincang dan mahu menerima idea yang berikan. Saya rasa Idham adalah seorang pengarah yang baik kerana dia bijak mengambil hati pelakon walaupun dia seorang yang tegas ketika bekerja.


"Ini pertama kali saya boleh berkawan dengan seorang pengarah. Saya rasa selesa untuk duduk dan berbual bersama kerana tiada jurang yang menghalang. Berbeza dengan di Indonesia, kita tidak boleh sesuka hati hendak bercampur dengan pengarah.

"Pengalaman berlakon dengan Kamal pula amat menyenangkan. Kami cepat menyesuaikan diri. Walaupun saya lebih muda daripada dia tetapi Kamal boleh mendengar dan menerima pendapat saya.

"Sebelum penggambaran bermula, kami akan berlatih dahulu untuk dapatkan 'mood'. Sejujurnya saya berasa sangat bertuah kerana dapat peluang ini. Mudah-mudahan peminat di Malaysia boleh menerima kehadiran saya,” ujar Olivia Jensen, heroin filem ‘Gerimis Mengundang’ yang diarahkan oleh pengarah filem pecah panggung, Ahmad Idham.

Dalam masa yang sama, pelakon jelita berusia 18 tahun ini juga mengakui yang dia berasa agak terkejut apabila pertama kali terlibat dengan produksi dari Malaysia. Jelas Olivia, cara bekerja produksi Malaysia sangat berbeza.

Selain melihat krew produksi Malaysia tidak seramai krew produksi Indonesia, dia juga mendapati persediaan set lokasi dibuat dalam masa yang singkat. Bahkan, dia juga berasa agak pelik apabila semua krew boleh berkawan dengan semua pelakon dan pengarah.

“Ini situasi yang sangat berbeza di Indonesia. Bukan satu kebiasaan di mana krew produksi, pengarah dan pelakon boleh bergaul bersama. Semuanya ada batasan. Tetapi itu semua tidak menjadi masalah kepada saya. Saya mudah menyesuaikan diri,” ujar Olivia lagi.

Kamal Hanya Kawan Biasa


Bagaimana pula dengan gosip yang mengatakan Olivia sebenarnya menjalin hubungan cinta dengan Kamal? Benar atau tidak?

“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, saya dan Kamal tidak ada hubungan istimewa seperti yang didakwa ramai. Saya hanya mengganggap Kamal sebagai rakan seperjuangan. Tidak wujud cinta lokasi antara saya dan Kamal. Saya senang berkerja dengan Kamal kerana dia boleh dibawa berbincang.

"Memang kami banyak luangkan masa bersama selepas penggambaran tetapi kami hanya berkongsi cerita tentang pengalaman masing-masing dalam bidang lakonan. Buat masa ini saya tidak memikirkan soal cinta kerana mahu tumpukan perhatian pada pelajaran dan karier,” ujar Olivia tegas.

Untuk info, Olivia atau nama sebenarnya Olivia Lubis Jensen adalah pelakon Indonesia berdarah kacukan. Ibunya warga Indonesia manakala bapanya warga Denmark. Olivia mempunyai saudara kembar bernama Sabrina dan seorang abang bernama Daniel.

Di awal penglibatannya dalam dunia lakonan, Olivia menetap di Bandung dan bersekolah di Bandung International School. Selepas seketika, barulah pelakon ini berhijrah ke Jakarta bagi memudahkan urusan lakonannya. Olivia juga berpindah sekolah ke Australian International School Jakarta.

Filem pertama lakonannya ialah ‘Bukan Cinta Biasa’ yang mula ditayangkan di pawagam Indonesia pada awal Mei 2009. Filem ini adalah terbitan WannaB Pictures dan disutradarai oleh Benny Setiawan. Selain itu, dia juga pernah memegang peranan utama untuk drama bersiri ‘Hafizah’ yang pernah ditayangkan di SCTV pertengahan November 2009
.

No comments:

Post a Comment