Thursday, September 22, 2011

Nik Aziz berkeras nak negara Islam, DAP nak keluar Pakatan dia punya pasal !!

Pas tetap akan menubuhkan sebuah negara Islam serta melaksanakan hukum hudud biarpun tidak mendapat sokongan daripada sekutunya dalam pembangkang iaitu DAP.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak kisah sekiranya DAP mahu meninggalkan pakatan pembangkang disebabkan perkara tersebut.


Pada masa sama, beliau berkata, Pas tidak perlu lagi berdialog dengan DAP kerana ia telah diadakan beberapa kali, malah pemimpin parti itu telah memahaminya.

“Berapa kali jumpa dah, DAP sudah keluar sekali masa Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dahulu, saya kata tidak apa (keluar), saya kata bye-bye, tidak apa.

“Sekarang dia (DAP) masuk balik, kalau dia keluar balik, dia punya pasallah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Himpunan Kursus Kenegaraan 2011 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) di sini, hari ini.

Kursus tersebut dihadiri kira-kira 1,400 pelajar di bawah Yayasan Islam Kelantan.

Menteri Besar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai reaksi Pengerusi DAP, Karpal Singh bahawa parti itu menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan negara.

Sebelum itu, Nik Aziz turut menolak pandangan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin bahawa keadaan negara ini tidak kondusif untuk melaksanakan hukum hudud.

Menurut Mursyidul Am Pas itu, DAP tidak sewajarnya menolak penubuhan negara Islam kerana ia memberi keadilan kepada semua.

“Negara Islam wajib ditubuhkan sebab kita menumpang di bumi Allah, selagi menumpang di bumi-Nya, selagi itu kita guna agama Allah, kalau tak mahu juga buat bumi sendiri. Saya tetap dengan agama Allah, Islam dan perkara ini kami tunjukkan waktu mula-mula Pas wujud sejak 1951, bukan benda baru.

Sementara itu, dalam laman sosial Facebook, Nik Aziz berkata, surat yang diterimanya untuk menghalang pelaksanaan hudud daripada kerajaan Pusat di bawah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak ada tarikh luput.

Justeru, beliau memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menarik balik surat tersebut dan membenarkan Kelantan melaksanakan hudud jika benar-benar UMNO ikhlas berjuang untuk agama.

“Saya membaca cabaran Dr. Mahathir agar Kelantan laksanakan hudud sekarang kerana beliau sudah tidak menjadi Perdana Menteri. Saya katakan, surat yang dihantar oleh beliau dulu atas sifatnya sebagai Perdana Menteri.

“Saya tidak pernah mendengar dasar bahawa mana-mana surat yang dihantar oleh Perdana Menteri akan tamat tempoh kuat kuasa apabila Perdana Menteri tersebut meletakkan jawatan. Adakah semua perkara akan tamat tempoh dan perlu diperbaharui apabila berlaku peralihan Perdana Menteri,” katanya.

No comments:

Post a Comment