Wednesday, September 14, 2011

Mendengar muzik sambil bergaya

PENGGUNA bakal merasai perbezaan ketara dalam kualiti muzik
yang disampaikan fon telinga Beats by Dr. Dre.
MUZIK bukan sekadar bunyi tetapi ia adalah susunan irama dan lagu yang hadir daripada lantunan suara penyanyi dan alat perkusi. Tanpa instrumen yang betul dan berteknologi tinggi, keaslian sesuatu muzik itu tidak mungkin dapat disampaikan kepada para pendengar.


Berpegang kepada prinsip tersebut, syarikat pengeluar kabel elektronik yang sudah bertapak sejak tahun 1970-an, Monster telah bekerjasama dengan penyanyi antarabangsa Dr. Dre bagi mereka sebuah fon kepala (headphone) yang mampu menyampaikan muzik yang sama ketika dimainkan secara langsung kepada pendengar.

Gabungan seni dan teknologi itu berhasil apabila Monster memperkenalkan siri fon kepala pertama yang digelar sebagai Beats by Dr. Dre pada tahun 2009.


Siri Beats by Dr. Dre mempunyai beberapa rekaan seperti Beat Studio, Beat Pro dan Beat Solo yang masing-masing mempunyai kelainan daripada segi rekaan bergantung kepada cara penggunaan.

Beat Studio direka supaya pendengar dapat menghayati muzik sama seperti ketika muzik dirakam di dalam studio manakala Beat Pro pula sesuai digunakan oleh deejay kerana fonnya boleh dibuka jika memerlukan komunikasi tanpa perlu menanggalkannya.

Menurut Penolong pengurus wakil tunggal produk Monster di Malaysia, Hweeseng (Elektronik) Sdn. Bhd., Kenny Leong, kebanyakan fon kepala yang berada di pasaran mempunyai sedikit kelemahan.

Paling ketara adalah kesan bunyi treble akan sampai dahulu ke pembesar suara dan barulah diikuti dengan bunyi bass. Kata Kenny, turutan itu akan memberi efek bunyi yang berlainan dengan muzik yang dimainkan secara langsung di hadapan penonton.

“Jadi dengan teknologi Monster dan kepekaan muzik yang dimiliki oleh rapper Dr. Dre, treble dapat diperlahankan untuk tiba pada waktu yang sama dengan bass,” kata Kenny ketika ditemui di Mutiara Damansara baru-baru ini.




SPEAKER Beats by Dr. Dre berfungsi dengan menggunakan bateri bersaiz AAA.

Ia amat bersesuaian dengan matlamat Dr. Dre yang mahukan muzik yang didengar oleh peminat lagu sama seperti pemuzik langsung yang berada di hadapan mereka.
Jelas Kenny, zaman digital telah menyebabkan lagu boleh dimuat turun di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja. Namun, untuk menghayati sesebuah lagu, seseorang memerlukan instrumen yang betul.
Disebabkan Monster hanya mempunyai kepakaran dalam teknologi pembuatan kabel, jadi Dr. Dre bertindak memberi sentuhan dan inspirasi fon kepala terbaik untuk model fon kepala yang diberi penghormatan dengan namanya itu.
Speaker Beat by Dr. Dre direka supaya sebarang bunyi dari luar tidak dapat menembusi pendengaran tatkala menggunakannya.
Teknologi yang dipanggil penghalang bunyi (noise cancelling) itu mampu mengurangkan bunyi persekitaran dan akustik daripada didengari. Ia beroperasi dengan menggunakan kuasa bateri bersaiz AAA.
Bingkai fon kepalanya pula boleh dilipat supaya mudah disimpan.
Walaupun kelihatan rapuh, Kenny menegaskan bahawa produk keluaran Monster tidak mudah rosak.
Ujarnya, satu ujian pernah diadakan untuk memastikan kelasakkan fon kepala. Dalam ujian tersebut, produk beat telah diberi tekanan seberat sebuah kenderaan.
“Kemudian, produk tersebut diambil dan diuji. Ternyata, ia masih lagi dalam keadaan elok dan mampu berfungsi seperti sedia kala,” ulasnya kepada Kosmo!
Reka bentuk
Selain teknologi yang ada, siri Beat by Dr. Dre turut memilik rekaan yang mengambil persona selebriti sebagai inspirasi reka bentuk fon telinga Monster.
Bersifat eksklusif dan terhad, antaranya adalah fon telinga inspirasi Lady Gaga yang rekaannya mengambil ciri-ciri jelas Lady Gaga yang gemar memakai pakaian dengan hiasan paku runcing (spike).
JustBeat yang diinspirasi oleh bintang pop, Justin Bieber pula didatangkan dalam warna ungu sahaja berdasarkan kepada warna kesukaannya manakala fon telinga siri pemain bola kerajang, Le Bron James pula direka supaya sesuai digunakan ketika bersukan.
“Reka bentuknya ringkas dan berfungsi dengan menyangkut pada telinga. Ia membolehkan atlet terutama sukan bola keranjang dapat sentiasa bergerak dan melompat tanpa fon telinga tertanggal,” kata Kenny sambil menunjukkan rekaan tersebut.
REKA BENTUK Beats by Dr. Dre boleh dilipat menjadi tiga bahagian untuk tujuan penyimpanan.

Bagi penggemar budaya Harajuku dari Jepun, Monster turut mengeluarkan beberapa siri koleksi iaitu Wicked Style, Super Kawaii dan Space Age.
Jangan hanya menilai kepada saiznya yang kecil, Kenny memberi jaminan ia mampu berfungsi sama seperti siri fon telinga Beat yang lain.
Kagum
Sementara itu, selebriti, Zoey Rahman, 26, mengakui mutu dan gaya yang terdapat pada fon kepala Beats by Dr. Dre.
Baru sahaja menggunakan model Studio dalam tempoh lebih kurang sebulan. Dia serta-merta merasai perbezaannya berbanding jenama fon kepala lain.
Walaupun tidak terlibat dalam bidang muzik secara profesional, Zoey berkata, semua orang pasti dapat mengesan kelainan melalui penggunaan fon kepala tersebut.
“Perbezaan yang ketara apabila saya meningkatkan tahap bunyi, ia tidak membingitkan telinga,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Zoey atau nama sebenarnya Mohd. Hairey Azhar Abdul Rahman hanya menggunakan fon kepala untuk tujuan peribadi seperti mendengar muzik kegemaran, melayari Internet dan waktu bekerja.
Selain itu, Zoey berkata, disebabkan reka bentuk yang menarik dengan warna yang pelbagai, ia sudah menjadi trend diseluruh dunia.
Tambahnya, keistimewaan fon kepala Beats terletak pada rekaan bingkainya yang mudah dilipat dan didatangkan dengan bekas yang mampu melindungi fon berharga hampir RM2,000 itu.
“Jadi, ia tidak akan pecah atau bengkok jika seseorang terduduk di atasnya,” kata Zoey yang turut menghadiri perasmian produk tersebut di kelab hiburan Zouk, Kuala Lumpur bulan lalu.

No comments:

Post a Comment