Monday, September 12, 2011

Mamat Khalid cari kelainan

SESUDAH filem Hantu Kak Limah Balik Rumah mencipta sejarah dengan kutipan box-office, pengarahnya, Mohamad Mohd Khalid atau Mamat Khalid terus melajukan langkah dengan menghasilkan beberapa lagi filem pelbagai genre.

Selain filem aksi Apokalips, terbaru beliau mara dengan filem bertemakan seram, Rentaz.


Menampilkan pelakon punya nama besar seperti Awie, Khir Rahman dan Shah Jaszle, ia mengisahkan Bob, lakonan Awie yang mengikut telunjuk syaitan yang menyerupai manusia bernama Taisyan (Khir Rahman).


Walaupun melalui pelbagai dugaan hidup sewaktu kecil, Bob berjaya membina hidup lebih baik tatkala dewasa. Bagaimanapun, satu hari dia mengalami kemalangan dan dalam keadaan koma, syaitan datang menuntut janji Bob.

Ditemui pada sesi penggambaran Rentaz di Perangin Mall, Georgetown, Pulau Pinang, Mamat berkata, idea untuk menghasilkan Rentaz diperoleh menerusi minatnya pada motosikal berkuasa besar dan spiritual.

“Sudah lama sebenarnya dua perkara ini bermain di kepala saya. Boleh dikatakan hampir dua tahun saya cuba menggabungkan dua perkara ini untuk dimuatkan dalam Rentaz.

“Saya memang minat dengan motosikal berkuasa besar dan pada waktu sama dalam usia sekarang saya lebih gemar mendekati perkara yang dapat meningkatkan pengetahuan dan mengukuhkan keimanan. Dua elemen ini sangat kuat bermain di kepala saya kebelakangan ini dan menyebabkan timbul idea menghasilkan Rentaz.

“Untuk membangunkan skrip dan lakon layar pula mengambil masa lapan bulan.
Begitu pun ingin saya nyatakan, tajuk filem Rentaz belum ditetapkan lagi kerana saya ada lagi satu tajuk iaitu Lebuh Raya Ke Neraka untuk digunakan terhadap filem terbaru arahan saya ini,” katanya.

Menurut Mamat lagi, dia lebih menggemari tajuk Lebuh Raya Ke Neraka kerana ia menggambarkan apa yang berlaku dalam filem ke-10 arahannya terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd itu. Bagaimanapun, dia memilih satu lagi tajuk iaitu Rentaz kerana bimbang sekiranya tajuk pertama pilihannya itu dianggap kurang sesuai atau menjadi kontroversi, ia boleh ditukar serta-merta.

“Rentaz pula timbul daripada perkataan asal rentas iaitu menggambarkan keadaan Bob yang sedang koma, rohnya mula merentasi ke alam barzakh,” katanya yang turut mengakui bertuah kerana dapat bekerja dengan pelakon hebat.

Kata Mamat lagi, selain itu, dia berasakan mahu menghasilkan sesuatu yang segar menyebabkan lahirnya Rentaz. Lebih daripada itu, peluang diberikan GBSB membolehkan apa yang diimpikannya sebelum ini dapat dizahirkan.

“Saya sendiri teruja sepanjang proses penggambaran Rentaz kerana jarang ada filem tempatan menampilkan kedua-dua tema ini dalam satu filem iaitu aksi dan spiritual. Malah pembikinannya pula dibuat berbeza berbanding filem lain.

“Memang benar sebelum ini kita ada filem mengenai rempit yang turut menampilkan motosikal kapcai tetapi dalam Rentaz, motosikal berkuasa besar menjadi cabaran untuk saya menonjolkan aksi seperti ‘willy’ dan babak kemalangan,” katanya.

No comments:

Post a Comment