Tuesday, September 20, 2011

Kehidupan unik kembar siam George dan Lori (5 GAMBAR)

KETIKA dilahirkan, pakar-pakar perubatan meramalkan pasangan kembar Siam George dan Lori Schappell tidak akan mampu hidup hingga usia 30 tahun.

Tetapi pada Ahad lalu, pasangan yang bercantum di kepala itu meraikan ulang tahun ke-50 yang menjadikan mereka sebagai kembar bercantum paling tua di dunia.


Mereka berkongsi 30 peratus tisu depan otak dan beberapa saraf penting yang bermakna tidak boleh dipisahkan melalui pembedahan.

Sempena sambutan ulang tahun kelahiran itu, mereka yang berasal dari Pennsylvania, Amerika Syarikat telah dibawa melancong ke London.

Apa yang menakjubkan, biarpun dilahirkan sebagai kembar Siam yang bercantum di kepala, kedua-duanya tetap menjalani kehidupan berbeza.

Lori misalnya pernah menjalin hubungan dengan lelaki dan George yang pada awalnya dinamakan Dori - memilih untuk hidup sebagai lelaki.

Lori juga merupakan juara dalam sukan boling dan George sering melakukan persembahan muzik country.

"Ketika kami dilahirkan, para doktor meramalkan hayat kami tidak mampu menjangkau 30 tahun. Kami buktikan mereka salah," kata Lori.

Katanya, pada usia 50 tahun, banyak yang mereka belajar dan akan terus menikmati hidup sepenuhnya.

Lori yang memiliki ketinggian lima kaki satu inci dilahirkan dengan tubuh badan yang sempurna. Sementara George yang hanya empat kaki empat inci menderita masalah belakang yang dikenali sebagai spina bofida yang menjejaskan pergerakannya.

George tidak boleh berjalan. Dia hanya duduk di atas kerusi roda khas yang akan ditolak oleh Lori. Dengan itu, kedua-duanya boleh bergerak bersama-sama.


"Kebanyakan orang tidak percaya kami mempunyai kehidupan yang normal. Kami melancong, mengemaskan kediaman kami malah Lori ada mempunyai teman lelaki. Tidak ada apa yang boleh menghalang kami melakukan apa yang kami mahu," kata George.

Mahkamah ketika itu memutuskan ibu bapa pasangan kembar itu tidak akan mampu memelihara kedua-duanya dengan sempurna lalu mereka diletakkan di bawah jagaan institusi yang majoriti pesakitnya menderita masalah mental.

Sedangkan kembar berkenaan tidak berhadapan dengan masalah tersebut.

"Tidak ada apa yang tidak kena dengan kami selain daripada fizikal. Tetapi orang tidak tahu yang sebenarnya, kami lebih baik.

"Kami belajar menjadi diri sendiri sejak dari usia muda dan mendapat keputusan cemerlang ketika di sekolah," ujar Lori.



Kehidupan luarbiasa ... Lori dan George Schappell

Apabila berusia 21 tahun, kembar itu telah mengambil tindakan undang-undang terhadap institusi terbabit supaya Lori boleh belajar di sebuah kolej kesetiausahaan - dan mereka menang.

"Kami kena buktikan yang kami boleh hidup sendiri dan akhirnya kami dibenarkan hidup bebas. Sekarang kami memiliki sebuah flat dua bilik dan setiap malam kami bergilir-gilir tidur di bilik masing-masing.


"Bilik saya lebih lebih kewanitaan dan mencerminkan personaliti saya. Sementara bilik George penuh dengan poster muziknya," jelas Lori.

Kembar tersebut bukan sahaja perlu berhadapan dengan kekurangan sejak lahir tetapi George turut merahsiakan penderitaannya yang tersendiri daripada kembarnya itu.

Kata George: "Sejak kecil saya tahu saya sepatutnya menjadi lelaki. Saya suka bermain dengan kereta api mainan dan benci pakaian perempuan yang dikenakan pada saya. Saya menyimpan keinginan untuk seks yang berbeza ini termasuk dari Lori selama bertahun-tahun."

Bagaimanapun kira-kira empat tahun lalu George menjelaskan apa yang diinginkan dan namanya ditukar dari Dori kepada nama sekarang dan hidup sebagai lelaki.

"Ia sangat sukar. Tetapi saya semakin tua dan saya tidak mahu hidup dalam penafian. Saya perlu menjalani hidup seperti mana yang saya inginkan," ujar George.

Dia bagaimanapun tidak menjalani pertukaran jantina, tetapi berpakaian dan memperkenalkan dirinya sebagai lelaki.

Bagi Lori, perubahan yang berlaku memang sesuatu yang mengejutkan.

"Tetapi saya bangga dengannya. Ia merupakan satu keputusan yang besar tetapi banyak yang telah dilalui dan diatasi dalam hidup kami. Kami kuat sebagai satu pasukan," kata Lori.


                             Usia remaja ... kembar siam, berusia 17, bersama dengan teman lelaki Lori



Selepas tamat pelajaran di kolej, Lori bekerja di bilik cucian sebuah hospital. Ketika dia bekerja, George akan membaca atau mendengar muzik.

Pada tahun-tahun 90-an George turut berjaya dalam kerjaya sebagai pemuzik dan pernah memenangi Anugerah Muzik LA untuk artis country terbaik.

Kata Lori: "Hidup saya ia bekerja dalam bilik cucian, sementara kerjaya George membawa kami mengembara ke serata dunia termasuk melakukan persembahan di Jepun dan Eropah.



"Ia satu perbezaan yang ekstrem. Tetapi kami saling menyokong satu sama lain sepanjang masa."
George dan Lori Schappell

Bagi orang yang tidak biasa, mereka terpesona dengan kehidupan pasangan kembar bercantum yang paling tua di dunia itu. Mereka sering di sapa dan ditanya tentang bagaimana menjalani kehidupan seharian.

Pasangan kembar itu cukup terkenal. Mereka sering muncul di televisyen dan kerap terbabit dalam program-program dokumentari termasuk rancangan Nip/Tuck. - The Sun UK

No comments:

Post a Comment