Wednesday, September 14, 2011

Gandingan serasi Apek, Johan dalam Raya tak jadi !

RAYA TAK JADI mempertaruhkan gabungan Apek dan Johan menerusi watak adik-beradik.
BOLEH dikatakan filem-filem yang bertemakan sambutan sesuatu perayaan yang penting di negara ini dilihat agak jarang dihasilkan oleh penerbit-penerbit filem tempatan.

Oleh yang demikian, sebuah filem bertemakan Hari Raya Aidilfitri yang berjudul Raya Tak Jadi telah dihasilkan melalui kerjasama Grand Brilliance dan Line Clear Production.


Merupakan filem bercorak komedi, apa yang membuatkan filem berkenaan bertambah menarik apabila ia menggandingkan dua orang pelawak yang cukup popular iaitu Saiful Apek dan Johan Raja Lawak.


Pada majlis pratonton yang telah diadakan baru-baru ini, Apek yang ditemui berkata dia tertarik untuk berlakon dalam filem berkenaan disebarkan elemen komedi serta kekuatan pada jalan ceritanya.

Menurut pelawak itu lagi, jika watak komedi yang sering ditampilkan menerusi beberapa buah filemnya sebelum ini menjurus kepada lawak slapstik, untuk filem ini dia membawakan watak komedi yang lebih tenang.

“Dalam filem ini saya membawakan watak seorang abang yang mempunyai adik lelaki yang mempunyai penyakit pelupa yang dilakonkan Johan. Walaupun masih membawakan watak komedi, tetapi ia lebih kepada komedi yang beremosi.

“Apa yang boleh saya katakan penonton juga tidak boleh mengharapkan terlalu banyak elemen komedi yang saya tampilkan. Sebaliknya penonton akan lebih terhibur dengan komedi yang ditonjolkan oleh Johan,” ujarnya.

Raya Tak Jadi berkisar tentang Shuib (Apek) mempunyai seorang adik yang pelupa iaitu Bob (Johan). Kekecohan telah berlaku apabila Shuib dan Bob menemui Haji Ehsan (Datuk Jalaluddin Hassan) yang disangka telah mati di dalam teksi Shuib.

Mereka berdua melakukan pelbagai cara untuk meninggalkan mayat tersebut namun gagal dan membuat keputusan untuk mengebumikan mayat itu. Namun, mayat yang disangka telah mati itu hidup semula dan ini telah memeranjatkan semua orang.

Selain Saiful Apek, Johan dan Datuk Jalaluddin Hassan, antara pelakon-pelakon lain yang turut membintangi filem tersebut adalah Wan Sharmila, Noreen Nor, Fieka, Ben Tan, Iedil Putra dan Khairi Azlee.

Ditanya mengenai gandingan sulungnya bersama Johan dalam filem itu, Apek menjelaskan tidak sukar untuk mereka berdua bekerjasama buat kali pertama dan menyifatkan ia adalah satu gandingan yang mantap.

“Keserasian yang ditampilkan kami berdua memang cukup baik dan saya sangat berpuas hati. Malah, kebanyakan babak yang ditampilkan adalah secara spontan dan pengarah juga turut memberi kelonggaran supaya tidak terlalu terikat dengan skrip,” ujarnya.

Sementara itu, Johan yang ditemui pada majlis yang sama menyatakan dia tidak rasa terlalu kekok untuk bergandingan dengan pelawak yang lebih berpengalaman seperti Apek.

Menurutnya, sebagai pelawak yang masih baru dia sememangnya sangat menghormati Apek dan mendapat banyak tunjuk ajar daripada pelawak tersebut. Malah, dia menganggap Apek sebagai seorang pelawak yang merendah diri dan tidak lokek untuk berkongsi ilmu.

“Apa yang membuat saya lebih terharu apabila Apek ada memberitahu yang saya adalah merupakan pelawak kegemarannya. Sedangkan suatu ketika dahulu saya begitu meminatinya memandangkan dia adalah antara pelawak hebat tanah air.

“Untuk filem ini kami berdua sering membuat perbincangan bersama untuk setiap babak yang membabitkan kami bersama. Walaupun saya masih lagi baru, tetapi Apek tidak keberatan untuk menerima beberapa idea yang saya kemukakan,” jelasnya.

Filem yang mula ditayangkan pada 15 September ini serta menelan belanja sekitar RM1.5 juta telah menjalani penggambaran di sekitar Kuala Selangor, Shah Alam dan Kuala Lumpur selama 27 hari.

Terkilan

Walaupun Raya Tak Jadi dihasilkan dengan bertemakan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri, namun filem berkenaan hanya dapat ditayangkan di pawagam selepas dua minggu umat Islam menyambutnya.


Mengenai perkara berkenaan, pengarah Prof. A. Razak Mohaideen tidak dapat menyembunyikan rasa terkilannya apabila sasaran untuk menayangkannya pada hari raya pertama tidak menjadi kenyataan.

“Filem ini telahpun siap dihasilkan sejak setahun yang lalu lagi. Mungkin disebabkan terlambat untuk dihantar ke Lembaga Penapisan Filem menyebabkan kami harus memberi laluan kepada filem yang dihantar lebih awal.

“Malah, pihak kami juga telah membuat rayuan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), tetapi rayuan kami tetap ditolak dan kami harus akur kepada keputusan yang dibuat,” ujarnya yang kali terakhir mengarahkan filem 4 Madu pada tahun lalu.

Meskipun merasa sedikit terkilan, Razak berharap penonton akan tetap pergi menonton filemnya itu memandangkan ketika ini suasana kemeriahan hari raya masih lagi dirasai.

Bagaimanapun, pengarah berkenaan tetap menegaskan pihak-pihak yang berkenaan supaya lebih memberi keutamaan kepada filem-filem bertemakan perayaan untuk ditayangkan pada waktu sambutan sesuatu perayaan selepas ini.

No comments:

Post a Comment