Wednesday, September 28, 2011

Eman Manan Temu Jodoh Gadis Muda




BENARKAH pelakon Eman Manan sudah bertemu jodoh baru yang bakal menjadi suri hatinya? Adakah pilihan hatinya wanita seusia atau gadis yang jauh lebih muda? Sekiranya gadis jauh lebih muda yang menjadi pilihan adakah pinangannya diterima keluarga gadis itu?


Jawapan kepada kenyataan tersebut terjawab apabila anda meluangkan masa menyaksikan telefilem menarik; Manual Cinta yang akan disiarkan menerusi slot Panggung Ahad pada 2 Oktober, jam 10 pagi di TV1.



Telefilem diterbitkan United Kadila Sdn Bhd itu menyaksikan lakonan hebat Eman Manan bergandingan dengan Noris Ali, Marissa Yasmin, Rosnah Johari, Maimun Mutalib dan Datuk Rahim Razali.


Cerita bermula dengan kemasyhuran Haikal lakonan Eman Manan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di satu syarikat multinasional yang terbabit dalam perniagaan pengangkutan dan eksport import tetapi dalam usia 48 tahun, hidupnya kesepian tanpa isteri atau teman wanita.




Kesunyian dan kesepian Haikal mendapat simpati Pembantu Peribadinya, Aisyah (Marissa Yasmin) bukan sekadar menguruskan kerja-kerja Haikal di pejabat malah hampir segalanya mengenai Haikal.




Satu hari, Haikal terserempak dengan Maisara. Gaya dan senyuman Maisara mengingatkan dia pada seseorang yang lama cuba dilupakan tetapi tidak berupaya.


Pertemuan dengan Maisara merubah kehidupan seharian Haikal. Dia gelisah tidak menentu. Senyuman seperti itulah yang memikat jantung hatinya 23 tahun lalu.
Justeru, hampir setiap hari Haikal menelefon Maisara.


Entah mengapa, Maisara pula begitu senang menerima panggilan daripada Haikal.
Maisara yakin dia jatuh cinta pada Haikal, tapi masalahnya, usia Haikal hampir sebaya ibunya, Rozita.


Aisyah gembira apabila Haikal jatuh cinta tetapi terkedu seketika apabila Haikal memberitahu usia Maisara baru 22 tahun.


Bagaimanapun, apabila melihat Haikal mula mabuk cinta, mahu atau tidak Aisyah menyokong juga hasrat Haikal.


Malangnya Haikal yang 24 tahun tidak bercinta, agak gementar dan kaku setiap kali menelefon Maisara. Apabila mereka keluar makan bersama, Haikal lebih banyak berbual soal bisnes dan pekerjaan. Aisyah yang bersimpati dengan kegelisahan Haikal, memberi beberapa tips kepada Haikal dalam usaha menawan hati Maisara.


Bermulalah episod percintaan Haikal dengan Maisara. Setiap kali keluar bersama Maisara, Haikal akan merujuk kepada Aisyah. Aisyah bagaikan manual cinta Haikal. Hadiah untuk Maisara juga disarankan dan dipilih Aisyah.


Setelah beberapa kali Maisara minta izin untuk keluar makan malam bersama kawan, Rozita mula mengesyaki Maisara sedang bercinta. Apabila didesak, akhirnya Maisara mengaku.


Yusof dan Rozita ingin mengenali teman istimewa Maisara menyebabkan Maisara serba salah dan benar-benar berada dalam dilema. Begitu juga dengan Haikal.
Sesekali dia keliru, apakah tindakannya bercinta dengan Maisara itu wajar.


Sanggupkah kedua orang tua Maisara menerima menantu yang seusia mereka? Lalu bagaimana pula dengan Aisyah yang dalam diam sebenarnya menyintai Haikal? Adakah cintanya berbalas?

No comments:

Post a Comment