Tuesday, September 27, 2011

Dibelasah digari kerana tegur polis buang sampah


MOHD. RIDZUAN menunjukkan laporan polis dan X-ray
akibat dibelasah oleh polis di Jitra, Kedah semalam.
JITRA: Hanya kerana menegur perbuatan seorang anggota polis membuang sampah di luar tong sampah, seorang pekerja syarikat pembersihan sisa pepejal menanggung padah apabila mendakwa dibelasah anggota itu dan lima rakannya serta diugut ditembak di Taman Bahagia, Kodiang, dekat sini, Sabtu lalu.
Dalam kejadian jam 11.20 pagi itu, Mohd Ridzuan Mohd Noor, 23, dari Jalan Sanglang, dekat Kodiang, turut digari sebelum dimasukkan ke lokap di Balai Polis Kodiang.

Mohd Ridzuan berkata, dia menjalankan tugas harian mengangkut sampah di situ sebelum seorang lelaki berusia 40-an membuang sampah di luar tong sampah.

Katanya, dia yang kecewa dengan sikap lelaki itu menegur perbuatannya.perniatamnya supaya membuang sampah itu ke dalam tong disediakan.
“Dia berang dan mempersoalkan tindakan saya, malah bertambah berang apabila melihat saya tidak tahu dia adalah polis. “Dia yang berpakaian preman turut mengugut menembak saya jika membawa pistolnya bersama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Sanglang, Kodiang, semalam.

Katanya, selepas bertengkar, anggota terbabit meninggalkan kawasan itu sambil memberi amaran kepadanya supaya berhati-hati dan sekali lagi mengugut menembaknya.
Menurutnya, setengah jam kemudian lelaki itu datang semula bersama lima rakannya dipercayai polis berpakaian preman berusia 30-an.


“Tanpa usul periksa, mereka menendang saya sehingga terjatuh. Selepas itu, muka, tangan dan perut saya disepak sebelum digari dan dibawa ke Balai Polis Kodiang dengan motosikal,” katanya.
Menurutnya, kejadian disaksikan orang ramai tetapi tidak boleh berbuat apa-apa kerana menyangka polis menangkap penjenayah.

Menurutnya, sebaik tiba di balai polis berkenaan, dia dibawa ke dalam sebuah bilik sebelum dipukul dengan rotan, selain ditendang sehingga tidak bermaya.

“Lelaki yang bertengkar dengan saya itu turut menendang bahagian muka saya dan dia sekali lagi mengugut akan menembak saya,” katanya.

Mohd Ridzuan kemudian dimasukkan ke dalam lokap sebelum dibebaskan setengah jam kemudian tanpa sebarang alasan.

Katanya, dia mendapatkan rawatan di Hospital Jitra dan doktor memaklumkan terdapat kesan lebam pada pipi kiri, rusuk kiri dan bahu. Mohd Ridzuan mendakwa pergelangan tangannya turut luka dan masih sakit akibat digari.

Mohd Ridzuan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, di sini, pada jam 1.40 pagi Ahad lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohamed Yusoff mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
Sumber : Metro online

No comments:

Post a Comment