Sunday, September 25, 2011

Awie tolak, Khir terima tawaran Mamat Khalid

VISI Mamat untuk Rentaz direalisasikan menerusi dua tenaga utama lakonannya, Awie dan Khir.
BUKAN mudah untuk membikin sesebuah filem supaya mesej yang ingin disampaikan benar-benar berkesan serta dapat difahami penonton yang mengunjungi pawagam untuk menontonnya.


Namun, bagi seorang penggarap filem yang namanya telah sinonim dengan filem bergenre komedi seperti Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah, Mamat Khalid, kali ini dia ingin menayangkan sebuah filem yang mungkin menyimpang dari dua filem pecah panggung yang digarapnya sebelum ini.




Rentaz merupakan taruhan terkini Mamat Khalid di bawah terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd. Watak utamanya merupakan Awie yang memegang karakter Bob serta Khir Rahman sebagai Tyson.

Filem bergenre seram ini menampilkan kisah mengenai seorang lelaki bernama Bob yang sedang koma didatangi Tyson, iaitu jelmaan syaitan berwajah manusia yang cuba untuk menyesatkan Bob selaku orang Islam walaupun ketika dirinya sedang berada di ambang maut.
Awie enggan dipertikaikan
Bagi Awie dan Khir, selain bermain dengan emosi dalaman, mereka juga perlu bijak bermain dengan watak yang diberi supaya kelihatan pro dan kontranya apabila dilakon dan dipertontonkan kelak.
Akui Awie atau Ahmad Azhar Othman ini, pada mulanya dia diberi watak Tyson. Namun disebabkan pelantikannya sebagai duta Persekutuan Seruan Islam Perak (PSIP) baru-baru ini, Awie beranggapan adalah tidak manis jika watak jelmaan syaitan itu dilakonkannya.
"Sebenarnya dalam konteks cerita ini Tyson boleh dilihat sebagai penyedar kepada sesiapa yang menonton. Tapi, saya tidak mahu nanti ada pihak yang mempertikaikan watak tersebut berkait dengan status saya sebagai duta PSIP.
"Saya tidak takut orang mengganggu saya namun saya tidak mahu orang mengganggu PSIP kelak mengenai isu watak ini kerana walaupun ia suatu karakter yang terbaik, namun setelah difikirkan semula, akhirnya saya menolak dan mengambil watak Bob," jelas Awie yang mengakui dia sememangnya tertarik dengan jalan cerita Rentaz ini sendiri.
Bicara Awie lagi, ini merupakan kali pertama dia melakonkan watak lelaki yang sedang koma dan tambahnya, setiap babak dalam Rentaz akan membuatkan penonton berasa tegang dan seram.
Ini kerana ia adalah filem yang dirasakan berlainan dari apa yang pernah dilakonkannya serta digarap oleh pengarah lain.
Tambahnya, karakternya sebagai Bob juga perlu agak sedikit low profile dan begitu mencabar diiringi dengan syot-syot yang dibuat. Jelasnya, penumpuan terhadap syot, genre dan arah filem ini juga begitu mencabar dan perlu berhati-hati semasa melakonkannya.
"Dalam erti kata lain, selain menyedarkan serta memberi keinsafan, ini juga merupakan dakwah secara halus dan punya makna tersirat kepada penonton yang memahaminya.
"Dan jika kita bercakap sekali, seribu orang membaca dan jika ada seorang pun yang menerima, sudah besar rahmat yang diperoleh.
"Namun walaupun seperti berdakwah, di dalam filem ini, kita tidak berkhutbah kerana kita mahu umumkan perkara ini dan tidak mahu terlalu berbentuk keIslaman," bicara Awie rancak ketika ditemui di lokasi penggambaran di Perangin Mall, Pulau Pinang baru-baru ini.
Akui vokalis kumpulan Wings ini juga, Bob juga merupakan watak yang memberi tekanan kepadanya kerana setelah meneliti skrip yang diberi dia menjadi agak tegang.
Ini kerana, dalam masa yang sama, walaupun watak yang dipegangnya itu tidak berkhutbah, namun emosi dalamannnya dan pandangan matanya yang harus menyampaikan khutbah kepada penonton tanpa berbicara mengenai isu agama.
"Sejujurnya, bidang nyanyian lebih mudah dari bidang lakonan memandangkan lakonan memerlukan penghayatan skrip dan emosi yang mendalam supaya watak yang dibawa itu berjaya dilaksanakan," akhiri Awie.

No comments:

Post a Comment