Monday, September 12, 2011

Amber Davis tidak sabar buat persembahan di KLCC

Sangat teruja dan tidak sabar untuk mengadakan persembahan sempena MASiF,” itulah kata Amber Davis.

Penyanyi popular dari Filipina Amber atau nama sebenarnya, Amber Alejo Rowley Davis, 26, kelahiran Mesa, Arizona, Amerika Syarikat itu bakal mengadakan dua persembahan pada Music, Arts and Style Internaional Festival (MASiF) yang berlangsung selama tiga hari mulai 15 September ini di Kuala Lumpur City Centre (KLCC).


Kata Amber, dia akan mengadakan persembahan tertutup yang lebih formal dan untuk persembahan itu lagu-lagu dendangannya lebih menjurus kepada irama balada.

Sementara persembahan di tempat terbuka pula, Amber lebih senang memilih tiga buah lagu yang rancak untuk disesuaikan dengan persekitaran.

“Setiap persembahan saya akan menyanyikan tiga buah lagu. Rasanya lagu balada lebih sesuai untuk persembahan tertutup sebab ia lebih formal. Manakala lagu rancak untuk penonton di tempat terbuka,” katanya kepada Utusan Malaysia melalui emel.


Menurut Amber, jemputan pihak penganjur ibarat bulan jatuh ke riba kerana sudah lama dia menyimpan hasrat untuk melawat Malaysia.

Katanya, sejak enam tahun lalu dia sudah menonton iklan pelancongan Malaysia Truly Asia dan sejak itulah menyimpan hasrat untuk datang ke sini.

Jelas Amber, dia amat tertarik dengan konsep festival yang memasuki tahun kedua penganjuran kerana ia berteraskan tiga genre seni iaitu muzik, lukisan dan fesyen.

Kata penyanyi lapan bersaudara itu, dia tidak sabar untuk bertemu dan berkenalan dengan para penggiat seni daripada pelbagai bidang itu.

Meskipun Amber sedar dirinya tidak dikenali di Malaysia, namun dia tidak patah semangat untuk menghibur para penonton.

“Tidak kisah ke mana saya pergi, saya sentiasa berusaha untuk berhubungan dengan penonton kerana setiap kelompok berbeza. Apa yang penting, saya suka dengan apa yang saya lakukan sekarang.

“Kalau saya gembira menghibur orang lain, sudah pasti mereka juga terhibur dengan persembahan saya,” katanya terus terang.

Menurut Amber, setiap penyanyi ada gaya dan stail tersendiri, malah tidak salah melihat persembahan artis lain sebagai inspirasi namun di waktu yang sama tampil dengan gaya tersendiri.

Penyanyi yang selesai menyiapkan album ke empat dengan syarikat Audioclef itu baru sahaja menjalani penggambaran klip video single terbaru, Light Year yang bakal dipasarkan dalam waktu terdekat ini.

“Saya beruntung kerana mempunyai pasukan yang kuat daripada Audioclef yang sentiasa memberi komitmen terhadap perkembangan karier saya. Untuk berhubungan dengan para peminat saya sentiasa melayari internet.

“Peminat boleh berhubungan dengan saya menerusi facebook, youtube atau twitter dengan nama FILAMBER serta www.amberdavismusic.com untuk mengetahui perkembangan terkini seni dan kehidupan saya,” katanya yang bercadang mengadakan tour di Asia dan memasarkan lagu-lagunya di merata negara.

Mengaku tidak mengetahui tentang perkembangan seni Malaysia, namun Amber bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana artis bagi mengembangkan kariernya di sini.

Kata Amber, ketika ini dia sedang hangat bercinta dengan seseorang yang sentiasa memberi sokongan kepadanya dan sesekali akan ke Amerika Syarikat untuk melawat adik-beradiknya.

No comments:

Post a Comment