Thursday, July 21, 2011

Suruhanjaya Dapati Teoh Beng Hock Bunuh Diri (GAMBAR NOTA)

Bernama - KUALA LUMPUR: Nota bunuh diri yang dikatakan ditulis Teoh Beng Hock sebelum kematiannya, disahkan sebagai tulisan milik Setiausaha Politik Exco Selangor itu dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan bagi menyiasat kematiannya, semalam.


Pemeriksa dokumen, Wong Kong Yong, 52, dari Jabatan Kimia Malaysia, mengesahkan ia ditulis Beng Hock selepas membuat perbandingan karekteristik tulisan pada nota itu dengan dokumen yang diterimanya daripada penyiasat bebas warga British, Michael Leslie Squires, pada Mac lalu.
Kong Yong berkata, beliau dimaklumkan Squires bahawa dokumen mengandungi tandatangan dan tulisan Beng Hock itu diambil dari pejabat majikannya iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, Shah Alam dekat sini.
“Selepas membuat perbandingan, saya dapati karekteristik tulisan rumi pada nota dan dokumen itu adalah serupa dan berkemungkinan besar ia ditulis oleh orang yang sama,” katanya.

Menjawab soalan peguam Majlis Peguam, Christopher Leong, Kong Yong berkata beliau tidak dapat mengesahkan sama ada tulisan Cina pada nota itu adalah tulisan Beng Hock kerana dokumen berkenaan hanya mengandungi tulisan rumi.

Kong Yong yang memberikan keterangannya dalam inkues sebelum ini, membuat perbandingan terhadap empat sampul mengandungi dokumen tulisan tangan, kad bank Visa, buku catatan ringkas, baucar tunai dan barangan lain milik Beng Hock, serta mengesahkan tulisan pada buku catatan ringkas ditemui dalam beg sandang si mati adalah sama dengan pada nota berkenaan.

Sementara itu, bekas rakan serumah Beng Hock, Esther Lew Swee Yoong, 32, yang juga seorang pegawai di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, menafikan beliau pernah menjalin hubungan istimewa dengan mendiang.
Swee Yoong menjelaskan hubungannya dengan Beng Hock hanya sebagai rakan baik dan bukannya sebagai teman istimewa, malah tiada sebarang emosi yang timbul dalam perhubungan mereka meskipun beliau rapat dengannya.

Beliau yang mengenali Beng Hock sejak 2000, berkata perkenalan mereka bermula ketika menuntut di fakulti sama di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang mana Beng Hock adalah pelajar junior.

Katanya, beliau pernah menyewa bilik di sebuah rumah di Kajang, Selangor pada 2007 dan ketika itu, Beng Hock bersama tunangnya, Soh Cher Wei turut menyewa bilik lain di rumah yang sama.

Swee Yoong berkata, beliau kemudian berpindah ke sebuah rumah di Puchong, Selangor dan Beng Hock mengikutnya pindah ke situ dengan menyewa sebuah bilik kerana ia berdekatan dengan tempat kerjanya.

Disoal Pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen, mengapa Cher Wei tidak mengikut mereka, Swee Yoong berkata, pada pendapatnya Cher Wei tidak ikut berpindah kerana ketika itu dia mengajar di sebuah sekolah di Kajang.
Prosiding bersambung hari ini.

No comments:

Post a Comment