Thursday, July 21, 2011

Pemuda PAS tetap bantah Konsert MTV

“Kita melihat penganjuran konsert ini telah mengguris perasaan umat Islam kerana ia berlangsung ketika umat Islam hendak menyambut bulan Ramadhan," kata Nasrudin Hassan Tantawi.


PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Pusat tetap dengan pendirian mereka membantah penganjuran konsert MTV World Stage Live di I -City, Shah Alam pada 24 Julai ini.

Ketuanya Nasrudin Hassan Tantawi berkata penganjuran konsert tersebut bertentangan dengan Enakmen Kawalan Hiburan Negeri Selangor.

“Kita melihat penganjuran konsert ini telah mengguris perasaan umat Islam kerana ia berlangsung ketika umat Islam hendak menyambut bulan Ramadhan.

“Insya-Allah, ahli Dewan Pemuda PAS Selangor dan Wilayah Persekutuan akan turun beramai-ramai untuk mengedar risalah dan berdakwah mengajak anak-anak muda mendekati Allah,” katanya.

Ujar Nasrudin, respon yang diberikan kerajaan negeri Selangor bukan seperti yang diharapkan walaupun pihak Pemuda telah menghantar dua memorandum bantahan sebelum ini.

Semalam Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi jaminan bahawa pihak penganjur diarah mematuhi garis panduan yang ketat termasuklah tidak membenarkan sebarang penjualan dan penggunaan alkohol dan rokok sepanjang konsert berlangsung.
Pergaulan bebas

Mengulas mengenai hal itu, Nasrudin berkata konsert tersebut tidak wajar diadakan kerana ia memberi kesan sosial yang negatif seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.

“Konsert seperti ini wajar di buat secara tertutup dan masyarakat Islam terutamanya golongan muda tidak dibenarkan hanyut serta leka dalam penganjuran majlis sedemikian.

“Pemuda PAS tidak membantah masyarakat untuk berhibur namun hiburan yang keterlaluan hanya akan merosakkan minda dan peribadi manusia itu sendiri,” kata beliau.

Pada Jun lalu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang mewakili persatuan penduduk Seksyen 7 Shah Alam menyerahkan satu memorandum yang membantah penganjuran konsert itu kepada Menteri Besar dan menggesa beliau membatalkan penganjuran konsert tersebut.

Konsert MTV World Stage Live yang akan berlangsung di I-City Shah Alam, Ahad ini membabitkan artis-artis antarabangsa.

Antara artis yang mengesahkan penyertaan pada konsert itu ialah ’30 Second To Mars’ iaitu pemenang Band Rock Terbaik di MTV Europe Music Award 2010 dan band tempatan Pop Shuvit.

No comments:

Post a Comment